KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, namun akan menasihati Agong bahawa pakatan Perikatan Nasional (PN) tetap membentuk blok terbesar di Parlimen.
Demikian dikatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof kepada beberapa media tempatan yang mengatakan bahawa Perdana Menteri telah menyatakan keputusannya ketika bertemu penggubal undang-undang daripada partinya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, di Kuala Lumpur pagi semalam.
"Kami baru sahaja selesai mesyuarat. Esok (hari ini) akan ada mesyuarat Kabinet khas. Selepas itu, dia (Tan Sri Muhyiddin) akan ke Istana Negara untuk mengemukakan peletakan jawatannya," kata Datuk Seri Redzuan, lapor akhbar The New Straits Times (NST).
Beliau namun menambah bahawa "ia terserah pada kebijaksanaan Agong untuk membuat keputusan" kerana "kami memiliki 100 Anggota Parlimen (AP)".
Meskipun jumlah itu kurang daripada sokongan 111 AP yang diperlukan untuk kekal majoriti di Parlimen, ia tetap lebih banyak daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) seramai 88 AP yang diketuai Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Datuk Seri Redzuan juga memberitahu wartawan bahawa "kami akan mematuhi Perlembagaan. Ia terpulang pada Agong untuk memastikan negara memiliki kepimpinan yang mengutamakan rakyat".
Pemeriksaan oleh akhbar The Straits Times (ST) dengan para pemimpin Bersatu juga mengesahkan bahawa presiden mereka Tan Sri Muhyiddin bersedia untuk meletakkan jawatan, tetapi juga akan menasihati Agong mengenai "beberapa pilihan" semasa sesi menghadap.
"Tan Sri Muhyiddin akan menawarkan pilihan termasuk meletakkan jawatan, membubarkan Parlimen atau sebuah kerajaan minoriti," kata seorang pegawai.
Namun, pilihan raya harus diadakan dalam tempoh 60 hari sekiranya Parlimen dibubarkan, dan Malaysia kini berada di tengah-tengah gelombang Covid-19 yang berbahaya.
Ia juga difahamkan bahawa sekiranya Tan Sri Muhyiddin meletakkan jawatan, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan disarankan dilantik calon perdana menteri sementara sehingga Agong memilih ketua politik mana yang dapat menguasai majoriti Parlimen.
ST difahamkan bahawa mereka yang berada dalam Umno sejauh ini telah mengabaikan arahan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menarik diri daripada PN yang mahukan calon perdana menteri daripada barisannya sendiri untuk menggantikan Tan Sri Muhyiddin.
Tan Sri Muhyiddin telah gagal meningkatkan sokongan bagi kerajaannya setelah tawaran konsesi beliau pada Jumaat lalu kepada pihak pembangkang untuk meraih sokongan telah langsung ditolak.
Selain 15 AP yang memihak kepada Datuk Seri Ahmad Zahid, lagi 17 AP daripada pelbagai parti pembangkang sebahagian besarnya setia kepada mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sekiranya semua 38 AP Umno menyokong calon baru mereka di samping parti pemerintah lain, majoriti kembali di tangan PN dengan sokongan 115 AP.
Parlimen Malaysia mempunyai 222 kerusi namun dua kerusi kosong berikutan kematian penyandangnya.
Walaupun Datuk Seri Ismail, yang juga merupakan Naib Presiden Umno, adalah tokoh parti paling kanan untuk menggalas jawatan itu, penggubal undang-undang paling lama di Malaysia Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dilihat sebagai calon yang diterima secara meluas.
Sementara itu, sekumpulan kira-kira 120 AP yang kini berada di luar kerajaan belum lagi bergabung untuk menyokong seorang calon perdana menteri.
Meskipun Datuk Seri Anwar disokong oleh gabungan PH beliau untuk menggalas jawatan tertinggi negara itu, majoriti penggubal undang-undang di luar PH sama ada menentang kepimpinannya, atau terikat dengan resolusi Umno awal tahun ini untuk tidak bekerjasama dengan beliau atau Parti Tindakan Demokratik, komponen terbesar dalam PH.