PETALING JAYA: Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang menerima rawatan bagi satu jangkitan dalam sistem penghadamannya dan bukan kerana ketumbuhan lama yang berulang, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam.
Dalam satu kenyataan, PMO berkata hasil pemeriksaan lebih lanjut oleh hospital menunjukkan tiada bukti bahawa masalah ketumbuhan yang dialami beliau dahulu telah berulang.
Para doktornya juga mengesahkan yang beliau memerlukan rawatan antibiotik intravena dan akan dibenarkan keluar hospital dalam tempoh beberapa hari lagi.
"Perdana Menteri telah dimasukkan ke hospital pada 30 Jun dan masih menerima rawatan bagi jangkitan dalam sistem penghadamannya.
"Selepas menjalani pemeriksaan kesihatan yang rapi, didapati tiada bukti menunjukkan masalah tumor lama yang berulang," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menambah, pemimpin itu berada dalam keadaan stabil dan bertambah baik.
Tan Sri Muhyiddin turut dibenarkan bertugas sambil menerima rawatan susulan.
"Atas nasihat doktor, beliau kini di hospital untuk terus menerima rawatan antibiotik intravena.
"Beliau dijangka keluar hospital dalam masa beberapa hari lagi," menurut kenyataan PMO itu.
Dalam pada itu, pemimpin tersebut telah melahirkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan kesihatan beliau.
Pada 30 Jun lalu, Tan Sri Muhyiddin yang pernah mengalami barah, telah dimasukkan ke sebuah hospital selepas dilaporkan menghadapi cirit-birit selama lebih seminggu.
"Beliau dimasukkan ke sebuah hospital di Kuala Lumpur untuk menerima rawatan serta pemantauan," menurut kenyataan PMO pada masa itu. - THE STAR/ASIA NEWS NETWORK
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg