Muhyiddin siar video penuh emosi, terbuka kembali sebagai PM M'sia
Muhyiddin siar video penuh emosi, terbuka kembali sebagai PM M'sia
KUALA LUMPUR: Meskipun usaha melantik perdana menteri Malaysia baru terus dijalankan, namun Tan Sri Muhyiddin Yassin belum berputus harap mahu terus berkhidmat.
Beliau yang telah meletakkan jawatan sebelum ini memegang 35 pengisytiharan berkanun yang ditandatangani dari penggubal undang-undang, namun tidak diketahui siapa yang disokong pernyataan itu, menurut laporan The Star pada Selasa (17 Ogos) dari sumber yang tidak dikenal pasti.
Pengisytiharan tersebut ditandatangani 31 anggota parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia, dan empat anggota parlimen bebas, menurut sumber tersebut.
Berikutan langkah mengundur diri semalam, sebuah video penuh emosi tentang perjalanan Tan Sri Muhyiddin selama 18 bulan sebagai perdana menteri, berjudul 'Terima kasih rakyat Malaysia' dimuat naik di akaun media sosialnya.
Sementara itu, netizen juga telah berkongsi video TikTok di mana kakitangannya sedang mengemas barang-barang di pejabatnya.
Adegan-adegan itu telah menyentuh hati beberapa warga Malaysia.
Kiriman Facebooknya telah mengundang lebih 35,000 komen, dengan ramai yang mendesaknya untuk terus kekal sebagai perdana menteri.
Memberikan responsnya kepada pertanyaan sama ada beliau akan kembali dilantik, Tan Sri Muhyiddin berkata:
"Kita lihat saja. Sebelum saya undurkan diri, saya perdana menteri dengan majoriti terbesar.
"Kita ahli politik, kita ada maklumat sendiri. Tiada orang yang mempunyai majoriti lebih besar dari saya."
Beberapa penganalisa tidak menafikan bahawa terdapat kemungkinan beliau akan kembali sebagai perdana menteri kesembilan Malaysia.
"Muhyiddin belum boleh dikecualikan. Sekiranya berlaku kebuntuan, rancangan damainya mungkin diterima untuk membolehkan beliau kembali sebagai PM minoriti menerusi CSA, dengan PH (Pakatan Harapan) atau paling tidak Parti Tindakan Demokratik," menurut pakar sains politik Wong Chin Huat dari Institut Asia Tenggara Jeffrey Cheah.
Namun, ada juga yang menyatakan peluangnya untuk kembali berkuasa agak tipis.
"Rakyat tidak akan inginkan pentadbiran yang sama. Apabila majoriti hilang dan menyebabkan pemerintah PN jatuh, maka sokongan serta popularitinya sebagai PM juga hilang," menurut penganalisa sosiopolitik Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya.

