Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

KERAJAAN BARU MALAYSIA

Muhyiddin ucap tahniah, ikrar PN main peranan semak dan imbang di Parlimen

Nov 26, 2022 | 05:30 AM



KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke-10, dan pada masa sama menegaskan gabungan parti politik itu akan memainkan peranan semak dan imbang dalam Parlimen dengan membawa suara rakyat selaras prinsip demokrasi berparlimen.



"Bergerak ke hadapan, PN akan meneruskan perjuangan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara berpandukan prinsip 'Prihatin, Bersih dan Stabil'," katanya dalam hantaran melalui Facebook beliau, semalam.



Terdahulu, sebuah kenderaan tanpa pengiring dipercayai membawa Ahli Parlimen Pagoh itu dilihat keluar dari kediaman beliau di Bukit Damansara sekitar 12.50 tengah hari semalam, lapor BH Online semalam.



Sementara itu Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata sokongan luar biasa rakyat kepada PN pada PRU-15 membuktikan aspirasi perjuangan, jenama dan hala tuju parti itu diterima baik semua lapisan masyarakat terutama golongan muda.



Beliau berkata, PN percaya penyokong dan jentera parti akan terus istiqamah berpegang teguh kepada asas perjuangan parti demi masa depan Malaysia yang lebih baik.



"Bergerak ke hadapan, semua pihak perlu cekal dan ikhlas meneruskan perjuangan melalui wadah PN walau apapun rintangan dan cabaran pasca PRU15," katanya dalam satu kenyataan, semalam.



Datuk Hamzah memaklumkan bahawa Tan Sri Muhyiddin, bersama barisan pimpinan tertinggi gabungan parti politik itu, turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakyat yang mengundi dan memberi sokongan kepada PN pada PRU15.



"Ucapan terima kasih tidak terhingga juga diucapkan khusus kepada petugas serta jentera parti PN di seluruh negara yang bertungkus-lumus bekerja keras menentukan kemenangan di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.



"Pimpinan tertinggi PN mendoakan kesejahteraan semua pihak yang memberikan sokongan dan dukungan kepada PN. Semoga Allah swt merahmati serta memberkati perjuangan kita semua," katanya.



Sementara itu Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mengucapkan terima kasih kepada rakyat atas sokongan kepada parti berkenaan dan PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).



"Kita telah berusaha sedaya upaya. Seterusnya, Perdana Menteri perlu membuktikan sokongan sebenar yang diterima," katanya dalam hantaran melalui Facebook beliau.



Ahli Parlimen Marang itu berkata, segala yang berlaku pasti ada hikmahnya.



"Yang penting ialah kita jujur kepada rakyat, bersabar dan tetap istiqamah.



"Kepada rakyat, kami akan terus berkhidmat. Kepada negara, kami akan terus berbakti," katanya.



Dalam perkembangan berasingan, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata beliau tidak mendapat sebarang maklumat akan perbincangan PN berhubung tawaran Datuk Anwar untuk PN menyertai Kerajaan Perpaduan.



"Saya tidak ada mendengar sebarang perbincangan mahupun maklumat mengenai perkara itu, setakat tengah hari tadi," katanya ketika dihubungi BH Online.



Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dilaporkan berkata PAS akan membincangkan tawaran menyertai Kerajaan Perpaduan itu dengan rakan-rakan komponen PN dalam masa terdekat.



Datuk Takiyuddin dipetik berkata, PAS juga akan meninjau pandangan dan kesediaan rakyat, khususnya pengundi yang memberi sokongan memberangsangkan kepada parti berkenaan dan PN pada PRU15.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >