KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bernilai RM150 bilion ($48.4 bilion), bertujuan memberi bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam berdepan penularan wabak Covid-19.
Tan Sri Muhyiddin ketika membentangkan Pemulih berkata pakej itu merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion.
Pemulih menumpukan pada tiga fokus utama, iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.
Walaupun dalam ruang fiskal yang amat terhad, Muhyiddin menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus komited dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat.
"Saya tidak akan berkompromi dalam soal memelihara kebajikan rakyat dan memerangi Covid-19," katanya dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen tempatan semalam.
Usaha membendung penularan koronavirus dan melaksana bantuan menyeluruh untuk rakyat kini dijalankan kerajaan Malaysia di bawah fasa pertama kawalan pergerakan Covid-19 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang berlangsung hingga pertengahan bulan depan.
Tan Sri Muhyiddin berkata fasa pertama kawalan pergerakan perlu dilaksana kerana jumlah kes Covid-19 di Malaysia belum mencapai nilai ambang di bawah 4,000 yang ditetapkan sebelum ini.
Bagi membantu rakyat, kerajaan akan mengumumkan bantuan lebih komprehensif di bawah PPN yang merangkumi semua kumpulan masyarakat.
Menurut Tan Sri Muhyiddin, perincian bantuan tersebut merangkumi sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan oleh pelaksanaan PKP 3.0 bagi mengekang penularan Covid-19.
Malaysia merekodkan lebih 728,000 kes Covid-19 sejak pandemik itu bermula awal tahun lalu, dengan 663,000 dilaporkan sembuh manakala lebih 4,880 maut.
Tan Sri Muhyiddin berkata bantuan yang diumumkan kali ini mengambil kira keperluan semua kumpulan terjejas secara lebih komprehensif jika dibandingkan dengan bantuan sebelum ini.
Beliau berkata yang penting ialah kerajaan memberi sokongan kepada semua kumpulan masyarakat.
Mengenai PKP dan PPN, beliau berkata ia merupakan lanjutan usaha pembendungan penularan pandemik Covid-19.
"Bukan kata 28 Jun tamat PKP, itu silap... kita masih di fasa pertama PPN dan akan lanjutkan sehingga cecah nilai ambang bawah 4,000 kes dengan kes di Unit Rawatan Rapi tidak lagi berada pada paras tenat dan vaksinasi ditingkatkan," katanya.
Pada 15 Jun lalu, beliau mengumumkan PPN itu merangkumi empat fasa yang akan beralih secara berperingkat.
Bagi membolehkan peralihan ke fasa kedua, purata kes harian Covid-19 perlu berada di bawah 4,000 kes; sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal, termasuk kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana; dan 10 peratus populasi telah menerima dua dos suntikan vaksin.
Untuk ke fasa ketiga, ia akan dibuat jika antara lain purata kes harian Covid-19 turun ke paras bawah 2,000 dan nilai ambang itu dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir Ogos, manakala peralihan ke fasa keempat dijangka dapat dilaksana seawal akhir Oktober ini. - BHM.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg