Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA

Mungkin pilihan raya paling sukar dihadapi Dr M

Pemimpin veteran hadapi saingan lima penjuru; walau masih dihormati, keadaan kini banyak berubah dengan isu ekonomi, kenaikan kos menjejas penduduk Langkawi
Nov 17, 2022 | 05:30 AM



LANGKAWI: Pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ini dijangka adalah yang terakhir bagi mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.



Ia juga boleh menjadi pilihan raya paling sukar yang dihadapinya.



Walaupun masih menikmati sokongan kuat, Dr Mahathir, 97 tahun, berdepan dengan persaingan lima penjuru untuk mengekalkan kerusi parlimen di Langkawi, berlatar kekecewaan penduduk selepas sektor pelancongannya runtuh dan menjejas perniagaan di sana.



Justeru, ada kemungkinan Dr Mahathir boleh kehilangan Langkawi, yang dihuni 90 peratus orang Melayu, kepada calon lebih muda di pilihan raya kali ini.



Dr Mahathir, yang kini mewakili gabungan parti Gerakan Tanah Air (GTA) yang diketuainya sendiri, akan cuba mempertahankan kerusi parlimen Langkawi bagi penggal kedua.



Beliau memenangi kerusi parlimen itu - yang ditandinginya buat julung-julung - di Pilihan Raya Umum 2018.



Beliau memenangi kerusi itu selepas meraih 34,527 undi, atau 54.9 peratus undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) yang meraih 29.1 peratus undi.



Kali ini, pesaing utama beliau di Langkawi adalah calon BN, Datuk Armishah Siraj, iaitu anggota cawangan Umno di Kampung Kuah dan yang dianggap dekat dengan isu-isu yang dihadapi penduduk di sana.



Tiga calon lain di Langkawi adalah Datuk Suhaimi Abdullah dari Perikatan Nasional (PN), Encik Zabidi Yahya dari Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Abdul Kadir Sainudin, seorang calon bebas.



Ini adalah kali pertama lima calon untuk merebut kerusi parlimen di Langkawi, tetapi memenangi kerusi itu akan memberikan kesan paling besar kepada Dr Mahathir dan GTA.



Sebanyak 13 daripada 121 kerusi parlimen yang ditandingi GTA adalah di Kedah. Pemerhati politik berkata ia mempunyai peluang terbaik memenangi jumlah kerusi terbanyak.



Kedah, yang turut merangkumi Langkawi, ialah tempat asal usul Dr Mahathir.



"Memenangi kerusi Langkawi ialah tiket Dr Mahathir untuk ke Parlimen dan adalah sebahagian rancangannya bagi GTA," kata Dr Norshahril Saat, seorang felo kanan di Iseas-Institut Yusof Ishak.



Pada satu masa dahulu, kerusi parlimen bak suatu yang pasti bagi Dr Mahathir.



Namun, keadaan telah banyak berubah.



"Biasanya, orang akan gerun bersaing dengan Dr Mahathir di tempatnya sendiri.



"Namun aura kekebalannya kini telah luntur," kata Cik Serina Rahman, felo madya di Program Malaysia Iseas.



Dalam laporannya, The Straits Times berkata penduduk yang ditemui di Langkawi akur mereka akan memberi sokongan kepada Dr Mahathir untuk "mengenang jasa Tun".



Dr Mahathir amat dihormati kerana membangunkan Langkawi dan memastikan kemakmuran ini berkekalan sejak mengisytiharkannya kawasan bebas cukai pada 1987, semasa beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia.



Langkah itu menarik pelbagai pelaburan sektor pelancongan, termasuk pembentukan lapangan terbang antarabangsa, khidmat feri dan hotel mewah.



Namun, pandemik Covid-19 yang melanda pada 2020 telah menyebabkan ketibaan pelancong merosot.



Selaras dengan perkembangan ini, sokongan bagi Dr Mahathir juga telah berkurang.



Pada 2021, jumlah pelancong yang memasuki Langkawi hanya sekitar satu juta, jauh lebih rendah berbanding 3.9 juta pelancong yang ke sana pada 2019, mengikut data dari Penguasa Pembangunan Langkawi.



Tahun ini, walaupun sempadan antarabangsa telah dibuka, harga diesel yang meningkat telah mengekang khidmat feri dan menyebabkan harga barangan dan khidmat lain meningkat.



Seorang pemilik gerai makanan laut yang hanya ingin dikenali dengan nama Cik Wedo berkata 1 kilogram sayur brokoli di Langkawi kini berharga RM10.90 ($3.30), berbanding RM5.90 di Kuala Lumpur.



Mereka juga membayar harga sehingga RM60 untuk membeli 30 biji telur atau RM2 bagi sebiji telur. Minyak masak juga dicatu oleh pembekal.



"Seseorang hanya dibenarkan membeli 1 kilogram minyak makan sehari," kata beliau.



Seorang penduduk di Langkawi yang dikenali sebagai Encik Leonard pula berkata beliau kini menjadi kurang yakin terhadap kepimpinan Dr Mahathir.



"Beliau tidak membantu kami semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) Covid-19 dilaksana dan keluarga serta perniagaan kami terjejas teruk.



"Mengapa kita harus mengundinya apabila beliau tidak menunjukkan beliau menjaga kepentingan kita?" kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >