Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Musim tengkujuh tambah kos sara hidup warga M'sia

Usaha kerajaan stabilkan harga barangan makanan selain berbagai bantuan segera yang dihulur kepada golongan miskin banyak membantu
Dec 25, 2022 | 5:30 AM
TERPAKSA NAIKKAN HARGA JUALAN: Cik Jamaliah terpaksa menaikkan harga nasi ayam disebabkan kenaikan harga ayam segar. - Foto-Foto BM oleh KHIRUL BAHRI BASARUDDIN
TERPAKSA NAIKKAN HARGA JUALAN: Cik Jamaliah terpaksa menaikkan harga nasi ayam disebabkan kenaikan harga ayam segar. - Foto-Foto BM oleh KHIRUL BAHRI BASARUDDIN -

KOS sara hidup yang semakin meningkat akibat kesan pandemik Covid-19 kini dapat diredakan melalui penstabilan harga barangan makanan selain berbagai bantuan segera kepada rakyat miskin.

Bagaimanapun, pada masa yang sama ketibaan musim tengkujuh di seluruh negara mengakibatkan bekalan makanan hasil laut dan sayuran agak terjejas, sekali gus ia menjadi agak mahal.

Nelayan tidak ke laut kerana cuaca tidak menentu selain tanaman sayuran tidak menjadi akibat hujan setiap hari sehingga menjejaskan tanaman tersebut.

Bagi meringankan beban rakyat jelata kepimpinan baru Malaysia yang dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan telah memberi berbagai bantuan selain memastikan bekalan makanan mencukupi untuk setiap rakyatnya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kerajaan akan mempercepatkan bayaran Fasa 1 Bantuan Tunai Rakyat yang memanfaatkan hampir 9 juta penerima dengan peruntukan RM2 bilion ($610,000) melibatkan kadar RM300 bagi setiap isi rumah dan RM100 untuk penerima bujang yang sepatutnya dibayar pada Mac kepada Januari 2023 ini.

Kerajaan juga meneruskan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 kepada semua murid pada Januari ini, tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa, selain Bantuan Kebajikan Masyarakat kepada isi rumah miskin, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) juga diteruskan.

Bagi memastikan kebajikan para pekebun kecil dan getah semasa musim tengkujuh, kerajaan menyalurkan bantuan tambahan sebanyak RM200 kepada pekebun kecil getah bagi Januari 2023.

Sebelum ini, kerajaan menyalurkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) bagi November dan Disember dengan bantuan keseluruhan RM600 ringgit kepada hampir 320,000 pekebun kecil getah.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin, berkata pemerintah perlu menghapuskan pemberian subsidi khususnya membabitkan minyak masak serta telur dan menggantikannya dengan subsidi bersasar menerusi pemberian tunai bulanan untuk golongan B40 (golongan pendapatan rendah bawah 40 peratus).

Katanya, langkah tersebut dapat menjamin situasi 'menang-menang' untuk semua pihak dan mengurangkan bebanan kerajaan untuk menanggung subsidi.

"Pada masa ini, semua keluarga membeli minyak bersubsidi dan kerajaan menanggung kos sehingga RM4 bilion setahun untuk pemberian subsidi kepada rakyat.

"Oleh itu, daripada kerajaan memberi subsidi RM4 bilion setahun dan ada ketirisan, lebih baik kerajaan peruntukkan RM1.5 bilion untuk golongan B40 ini supaya mereka juga dapat beli minyak masak," katanya kepada Berita Harian.

Bagi pesara, Encik Murtaza Ghani, langkah proaktif pemerintah itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kehidupan harian rakyat.

"Saya akui ada perubahan sikit dari segi bekalan makanan utama seperti ayam, telur, tepung dan minyak masak sejak kebelakangan ini. Harganya juga agak munasabah tetapi kalau boleh, diturunkan lagi," katanya semasa diminta memberi pandangan mengenai kos sara hidup yang dihadapi rakyat Malaysia.

Penjual ikan, Encik M Maniam, mengakui bekalan makanan laut agak terhad selain harganya agak tinggi daripada biasa disebabkan nelayan tidak ke laut kerana cuaca buruk.

Menurutnya, yang menerima bekalan ikan segar daripada kawasan Sungai Besar dan Kuala Selangor, kini terpaksa menjual hasil laut sejuk beku yang diperolehi daripada pasar borong berdekatan.

"Kebiasaannya bekalan akan stabil selepas habis musim tengkujuh dan musim perayaan Tahun Baru Cina dua tiga bulan lagi,'' kata Encik Maniam.

Bagi peniaga nasi ayam, Cik Jamaliah Ibrahim, pendapatannya agak berkurangan berikutan kenaikan harga ayam segar sejak kebelakangan ini.

Katanya, pelanggan amat berkira dengan kenaikan harga nasi ayam yang dulu hanya RM5 tetapi kini sudah mencecah RM6 sebungkus.

"Saya tidak dapat menjual dengan harga lama kerana harga ayam segar naik mendadak sehingga RM9.40 sekilogram bergantung kepada bekalan, dan sejak akhir ini harga turun hingga RM8.60 sekilogram,'' katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg