Topik diikuti
Pergi ke BHkuMuslim New York semakin diterima 25 tahun selepas 9/11
Muslim New York semakin diterima 25 tahun selepas 9/11
NEW YORK: Encik Asad Dandia baru berusia lapan tahun ketika menyaksikan serangan 11 September 2001 menerusi televisyen di rumah ibu bapanya, pendatang Pakistan yang menetap di New York.
Selepas serangan yang meragut hampir 3,000 nyawa itu, masyarakat Islam di Amerika Syarikat berdepan gelombang Islamofobia ketika negara tersebut cuba menangani trauma akibat tragedi berkenaan.
Mereka berdepan kemarahan, kecurigaan, gangguan dan dalam sesetengah keadaan, keganasan.
Pada usia 19 tahun, Encik Dandia sendiri menjadi sasaran pengawasan polis apabila seorang pemberi maklumat menyamar sebagai rakannya dan memasuki lingkungan keluarga serta masyarakatnya.
Ia merupakan sebahagian daripada program pengawasan kontroversi polis New York ketika itu, yang bertujuan mengesan kemungkinan ancaman keganasan dalam kalangan masyarakat Islam.
Kini, 25 tahun selepas serangan 9/11, Encik Dandia, 33 tahun, yang merupakan seorang ahli sejarah, melihat New York yang jauh berbeza.
Bandar itu kini mempunyai Datuk Bandar Islam pertamanya, solat secara terbuka di Times Square dan semakin banyak masjid, mencerminkan kedudukan masyarakat Islam yang semakin kukuh dalam kehidupan sosial dan politik New York.
“Dua puluh lima tahun selepas 9/11, kami masih berkabung dan bersedih dengan apa yang berlaku. Pada masa sama, kami sedar bahawa saya tidak bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku,” katanya kepada AFP.
“Saya tidak seharusnya menjadi sasaran kerana apa yang berlaku dan saya juga warga New York seperti orang lain,” tambah Encik Dandia, yang kini mengendalikan lawatan berjalan kaki mengenai sejarah masyarakat Islam di bandar itu.
Islamofobia meningkat dengan ketara di Amerika selepas serangan 2001 apabila anggota militan merampas pesawat penumpang dan merempuhkannya ke menara Pusat Dagangan Dunia di Manhattan serta Pentagon dekat Washington.
Sebuah lagi pesawat terhempas di Pennsylvania selepas penumpangnya melawan perampas.
Selepas serangan itu, ramai penduduk Islam melaporkan peningkatan serangan dan gangguan di tempat awam.
Ada wanita berhenti memakai hijab bagi mengelakkan identiti agama mereka diketahui.
Pihak berkuasa Amerika pula memperketat pengawasan terhadap masyarakat Islam, termasuk mewajibkan ribuan lelaki dan remaja lelaki mendaftar dengan pemerintah.
Langkah itu membawa kepada pengusiran ramai daripada negara tersebut.
“Semua orang hidup dalam ketakutan,” kata Encik Mohammad Razvi, kelahiran Pakistan yang menubuhkan pertubuhan bukan mencari untung, Majlis Pertubuhan Masyarakat, bagi membantu masyarakat Islam New York selepas 9/11.
Menurutnya, pernah berlaku kejadian tembakan dilepaskan di kawasan kejiranannya oleh individu yang menganggap masyarakat Islam bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.
Encik Razvi juga mula memperkenalkan dirinya sebagai “Mo” selepas 9/11 bagi mengelakkan stigma yang dihadapinya apabila menggunakan nama “Mohammad”.
“Orang Islam yang cuba mengejar impian Amerika dipersalahkan atas sesuatu yang langsung tiada kaitan dengan mereka dan di luar kawalan mereka,” katanya.
Di New York, polis turut menjalankan pengawasan terhadap ratusan penduduk Islam sebagai sebahagian strategi memerangi keganasan, termasuk terhadap individu yang tidak mempunyai bukti melakukan kesalahan.
Encik Dandia mengalami sendiri pengawasan itu ketika menjadi mahasiswa berusia 19 tahun.
Seorang pemuda Bangladesh ketika itu menyertai badan kebajikan yang diasaskannya.
Mereka kemudian menjadi rapat, makan bersama, bersukan dan pemuda tersebut pernah bermalam di rumahnya.
Tujuh bulan kemudian, lelaki itu mendedahkan bahawa beliau sebenarnya pemberi maklumat Jabatan Polis New York (NYPD) yang ditugaskan memantau Encik Dandia dan masyarakatnya.
“Ia sangat menyedihkan, tetapi juga menakutkan,” katanya.
“Hubungan saya dengan dunia di sekeliling saya berubah sama sekali.”
Encik Dandia bersama beberapa kumpulan hak asasi kemudian mencapai penyelesaian undang-undang penting yang mengehadkan keupayaan NYPD menjalankan program pengawasan serupa dan mewujudkan badan pemantau terhadap pasukan polis.
Peguam Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR), Encik Gadier Abbas, menyifatkan program itu sebagai antara contoh paling jelas “histeria anti-Islam” selepas 9/11.
Bagaimanapun, beliau berkata keadaan hari ini memberi lebih banyak harapan.
“Kita melihat orang Islam Amerika dalam hampir setiap bidang kehidupan dan pada hampir setiap peringkat. Itu menunjukkan betapa dinamiknya masyarakat ini,” katanya.
New York tidak lama lagi akan mempunyai masjid terbesar di negeri itu. Lebih 100 masjid juga telah dibuka di New York sejak 2001, ketika pengaruh masyarakat Islam dalam bidang budaya dan politik semakin meningkat.
Datuk Bandar New York, Encik Zohran Mamdani, yang mengangkat sumpah jawatan menggunakan Al-Quran, turut muncul sebagai antara wajah baru politik berhaluan kiri Amerika.
Namun, Islamofobia masih belum lenyap di bandar yang penduduk Islam membentuk sekitar sembilan peratus daripada keseluruhan penduduknya.
Pada Mac lalu, seorang pempengaruh berhaluan kanan menganjurkan perhimpunan ‘Hentikan Penguasaan Islam ke atas Bandar New York’ di luar kediaman rasmi Datuk Bandar.
Seorang senator konservatif pula pernah berkata Encik Mamdani harus dihantar ke pusat tahanan Amerika di Teluk Guantanamo, yang terkenal sebagai tempat tahanan suspek berkaitan keganasan selepas 9/11.
Bekas Datuk Bandar New York ketika serangan 9/11, Encik Rudy Giuliani, turut berkata beliau tersinggung dengan kehadiran Encik Mamdani pada upacara memperingati tragedi itu.
Sebahagian keluarga mangsa meminta Encik Mamdani tidak menghadirinya, manakala keluarga lain mempertahankan hak Datuk Bandar itu untuk hadir.
Bagi Encik Dandia, Islamofobia masih wujud, tetapi perjalanan masyarakat Islam New York sepanjang 25 tahun lalu tetap memberikan sebab untuk beliau optimistik.
“Saya melihat peningkatan kekuatan institusi masyarakat kami, tetapi juga pengiktirafan daripada warga New York bukan Islam bahawa kita semua adalah sebahagian daripada bandar ini,” katanya.
“Perkara itu sangat bernilai kerana sesebuah masyarakat tidak dibina dalam sehari atau oleh seorang individu atau satu kumpulan sahaja. Ia dibina oleh seluruh masyarakat.” - Agensi berita
