Topik diikuti
Pergi ke BHkuMuzium Abu Dhabi bernilai AS$1 bilion bakal dibuka Disember selepas penantian 20 tahun
Muzium Abu Dhabi bernilai AS$1 bilion bakal dibuka Disember selepas penantian 20 tahun
Muzium Abu Dhabi bernilai AS$1 bilion bakal dibuka Disember selepas penantian 20 tahun
ABU DHABI: Selepas lebih dua dekad menanti, Muzium Guggenheim Abu Dhabi akhirnya akan dibuka kepada orang ramai pada 11 Disember ini, sekali gus melengkapkan satu daripada projek kebudayaan terbesar yang dibangunkan Amiriah Arab Bersatu (UAE) di Daerah Kebudayaan Saadiyat.
Muzium seni moden dan kontemporari itu direka oleh arkitek terkenal dunia, mendiang Frank Gehry, dan menjadi muzium terbesar pernah dihasilkannya, selain merupakan projek pertama beliau di Asia Barat.
Pengerusi Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan Abu Dhabi, Encik Mohamed Khalifa Al Mubarak, berkata pembukaan muzium itu menandakan satu detik penting dalam usaha Abu Dhabi mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat seni dan budaya bertaraf antarabangsa.
“Guggenheim Abu Dhabi merupakan detik penting dalam perjalanan kebudayaan kami. Muzium ini membuka perspektif baharu terhadap seni moden dan kontemporari sambil mengetengahkan karya dari seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
Projek bernilai lebih AS$1 bilion (kira-kira S$1.3 bilion) itu mula diumumkan pada 2006, namun berdepan pelbagai kelewatan akibat isu pembinaan, krisis ekonomi global, pandemik Covid-19 dan kontroversi berkaitan kebajikan pekerja binaan.
Kerja pembinaan bermula pada 2011 sebelum dihentikan dan hanya disambung semula pada 2019.
Pada 2021, Abu Dhabi menetapkan sasaran pembukaan pada 2026, yang kini akhirnya menjadi kenyataan.
Muzium seluas kira-kira 80,000 meter persegi itu terletak di Pulau Saadiyat yang menghadap Teluk Parsi, bersebelahan beberapa institusi budaya utama lain termasuk Louvre Abu Dhabi, Muzium Nasional Zayed dan pusat seni digital teamLab Phenomena.
Ia turut menjadi sebahagian daripada rangkaian global Guggenheim bersama muzium di New York, Venice dan Bilbao, Sepanyol.
Frank Gehry, pemenang Hadiah Pritzker yang meninggal dunia pada penghujung tahun 2025, mereka bentuk bangunan itu menggunakan gaya dekonstruktivisme yang menjadi identitinya.
Reka bentuk ikonik berkenaan menampilkan 10 struktur berbentuk kon logam yang bukan sahaja memberi identiti visual unik, malah berfungsi sebagai sistem pengudaraan semula jadi bagi mengurangkan haba di kawasan padang pasir.
Rekaan itu mengingatkan kepada Muzium Guggenheim Bilbao di Sepanyol yang dibuka pada 1997 dan dianggap antara karya paling berpengaruh dalam dunia seni bina moden.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Solomon R. Guggenheim, Dr Mariët Westermann, berkata muzium itu akan memperkenalkan naratif baharu mengenai sejarah seni moden dengan memberi tumpuan kepada karya dari Asia, Asia Barat, Afrika Utara serta negara-negara Selatan Global yang sebelum ini kurang mendapat perhatian.
“Hasrat kami adalah mempersembahkan sejarah seni daripada perspektif yang lebih menyeluruh. Muzium ini dibina untuk mengalu-alukan pengunjung dari UAE, rantau ini dan seluruh dunia,” katanya.
Menurut beliau, sejak 2009 pihak muzium telah membina koleksi tetap yang memfokuskan karya seni selepas tahun 1960 daripada pelbagai negara.
Walaupun senarai karya yang akan dipamerkan sempena pembukaan masih belum diumumkan, Encik Westermann berkata kebanyakan persiapan kini hanya tertumpu kepada pemasangan koleksi seni.
“Masih ada beberapa perkara yang perlu disiapkan, tetapi fokus utama kini ialah memasang karya seni sebelum pembukaan rasmi,” katanya.
Muzium itu mempunyai 30 galeri yang dihubungkan oleh sebuah atrium utama, dengan ruang pameran dalaman seluas hampir 11,600 meter persegi.
Selain itu, ruang pameran luar meliputi hampir 23,000 meter persegi, menjadikannya antara muzium seni kontemporari terbesar di dunia.
Tidak seperti muzium Guggenheim lain, semua karya seni yang diperoleh untuk Guggenheim Abu Dhabi akan dimiliki oleh pemerintah Abu Dhabi, manakala pelantikan pengurusan tertinggi dibuat secara bersama antara Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan Abu Dhabi dengan Yayasan Solomon R. Guggenheim.
Kerjasama itu mencerminkan komitmen pemerintah Abu Dhabi untuk menjadikan sektor seni dan budaya sebagai pemacu ekonomi baharu selain industri minyak dan gas.
Namun, projek itu tidak terlepas daripada kritikan apabila beberapa pertubuhan hak asasi manusia sebelum ini mendakwa pekerja asing di tapak pembinaan berdepan keadaan kerja yang tidak selamat sepanjang dekad lalu.
Pihak Guggenheim bagaimanapun menegaskan pelbagai penambahbaikan telah dilaksanakan bagi memastikan standard kebajikan pekerja dipatuhi sepanjang pembinaan diteruskan.
Pembukaan muzium itu juga berlangsung ketika rantau Asia Barat masih berdepan ketidaktentuan keselamatan susulan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran.
Encik Westermann berkata keselamatan kakitangan dan pengunjung kekal menjadi keutamaan, sambil menyifatkan keadaan di Abu Dhabi kini stabil dan selamat untuk operasi muzium.
Beliau optimis Guggenheim Abu Dhabi bukan sekadar menjadi destinasi pelancongan baharu, malah bakal berfungsi sebagai platform dialog budaya yang menghubungkan masyarakat daripada pelbagai negara.
Sementara itu, Encik Mohamed berkata pembukaan muzium berkenaan mencerminkan keyakinan jangka panjang Abu Dhabi bahawa kebudayaan merupakan jambatan paling kukuh untuk menghubungkan masyarakat pelbagai latar belakang.
“Budaya ialah asas kepada pembinaan masyarakat yang berpandangan jauh. Guggenheim Abu Dhabi akan menjadi ruang yang menggalakkan pertukaran idea, penghargaan terhadap seni dan hubungan antara manusia dari seluruh dunia,” katanya. - Agensi berita