KAHIRAH: Muzium Agung Mesir yang dinanti-nantikan selama hampir sedekad, akhirnya mula dibuka kepada orang ramai pada 16 Oktober 2024.
Muzium yang terletak berhampiran Piramid Giza itu tidak hanya menjanjikan pengalaman sejarah yang mendalam, malah, ia juga menyemarakkan sektor pelancongan Mesir yang sudah lama menjadi tulang belakang ekonomi negara itu.
Dengan peruntukan pelaburan 1 bilion euro ($1.4 bilion) – dua pertiga daripada jumlah itu disumbangkan pelabur Jepun, Muzium Agung Mesir itu dijangka menjadi pusat pengumpulan dan pameran artifak terbesar di dunia.
Muzium itu telah membuka 12 bilik pameran yang menempatkan sekitar 24,000 artifak dari tamadun Mesir purba dalam percubaan pertama.
Menurut pembantu kepada Menteri Antikuiti Mesir, Dr Al-Tayeb Abbas, langkah itu bertujuan mempersiapkan kelancaran pengurusan pelawat sebelum pembukaan rasmi yang dijadual pada 3 Julai 2025.
Dengan kapasiti menerima 4,000 pelawat sehari, pembukaan percubaan itu penting bagi mengenal pasti sebarang isu seperti kesesakan dan keselesaan pelawat.
Pengunjung yang juga pelancong dari Canada, Encik Aude Porcedde, di akhir lawatannya ke muzium itu berkata:
“Tamadun Mesir sangat penting bagi saya dan dunia untuk lebih memahami sejarahnya.
“Banyak perkara yang kita tidak tahu, terutama dari bahagian dunia yang lain.”
Di antara koleksi yang dipamerkan dalam pembukaan percubaan ini, terdapat ruang yang menempatkan patung raja-raja dan pegawai tinggi Mesir purba termasuk patung besar, Raja Ramses II, yang mengagumkan.
Salah satu daya tarikan utama muzium itu adalah bilik, ‘Elit Raja’, yang mempamerkan patung-patung keluarga diraja dan pegawai tinggi yang memainkan peranan penting dalam kerajaan purba Mesir.
Di samping itu, patung-patung besar yang menghiasi laluan ke dewan utama turut memukau pengunjung dengan saiz dan keindahannya.
Walaupun begitu, koleksi terkenal Tutankhamun seperti topeng emasnya, yang terdiri daripada hampir 5,000 artifak termasuklah ‘sarcophagus’, perhiasan, kereta kuda dan peralatan berharga, masih belum dipamerkan dan dijangka hanya akan dipamerkan selepas pembukaan rasmi.
‘Sarcophagus’ merujuk pada keranda batu, biasanya dihiasi dengan arca atau ukiran dan dikaitkan dengan tamadun purba Mesir, Rome, dan Yunani.
Artifak-artifak itu masih ditempatkan di muzium lama di Medan Tahrir, Kahirah.
Selain itu, ‘Tongkang Suria’, sebuah kapal kayu cedar sepanjang 42 meter yang direka untuk membawa Firaun Khufu ke syurga, juga belum dipamerkan.
Ketiadaan koleksi itu menambahkan lagi rasa ingin tahu orang ramai terhadap muzium ini dan memacu spekulasi mengenai pengalaman akan datang apabila semua koleksi dibuka sepenuhnya.
Salah satu ciri utama Muzium Agung itu adalah penggunaan teknologi terkini dalam pamerannya.
Setiap dewan dilengkapi dengan persembahan multimedia yang memberikan penjelasan mendalam mengenai kehidupan masyarakat Mesir purba.
Menurut Pengarah Pemulihan Awal dan Pemindahan Antikuiti di muzium itu, Dr Eissa Zidan, salah satu dewan menggunakan realiti maya untuk menerangkan sejarah pengebumian dan perkembangannya sepanjang zaman Mesir purba.
Bagi mereka yang teruja melihat dengan lebih dekat kehidupan masyarakat Mesir purba, teknologi itu memberikan pengalaman interaktif, dan maklumat dengan cara menarik serta mudah difahami, bukan sahaja bagi orang dewasa, malah juga kanak-kanak.
“Muzium ini bukan sekadar tempat mempamerkan artifak, malah ia juga bertujuan menarik minat kanak-kanak untuk belajar mengenai sejarah Mesir purba,” kata Dr Zidan.
Ia menjadikan muzium itu lebih daripada sekadar tapak pelancongan, bahkan juga sebagai pusat pembelajaran yang berterusan, ujarnya.
Dengan lebih 100,000 artifak yang dijangka akan dipamerkan setelah pembukaan penuh, Muzium Agung Mesir, akan menjadi salah sebuah muzium terbesar dan paling berpengaruh di dunia.
Dengan saiz kompleks utama hampir satu kilometer panjangnya, muzium dengan saiz setara 80 padang bola sepak itu akan menarik minat pengunjung dari seluruh dunia.
Sektor pelancongan Mesir dijangka meraih manfaat besar daripada pembukaan muzium itu, yang setanding dengan muzium terkenal dunia seperti British Museum di London dan Louvre di Paris.
Selain itu, projek tersebut juga bertujuan meningkatkan kesedaran tentang tamadun Mesir dan mengukuhkan kedudukan Mesir sebagai destinasi pelancongan utama di dunia.
Ini turut didorong oleh pembangunan prasarana tambahan seperti lapangan terbang antarabangsa Sphinx yang baru dibina, serta memudahkan pengangkutan pelancong ke dataran Giza.
Keunikan muzium ini bukan sahaja terletak pada koleksinya, malah juga pada daya tarikannya untuk pelancong antarabangsa dan tempatan.
Pelancong dari Costa Rica, Encik Jorge Licano, turut melahirkan kekagumannya terhadap muzium itu, dan berkata:
“Mesir telah mencurahkan banyak pemikiran dan usaha dalam pembinaan muzium ini, termasuk reka bentuk seni bina, pandangan strategik ke arah piramid, pameran yang menarik, ruang terbuka, kedai cenderamata, serta restoran dan kafe.
“Melihat segala-galanya di sini dan belajar daripada penduduk tempatan adalah pengalaman yang luar biasa.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg