WASHINGTON: Amerika Syarikat berkata junta Myanmar melengah-lengahkan masa dengan jangka waktu dua tahun pilihan raya ketika Setiausaha Negara, Encik Antony Blinken bersedia untuk menggesa Asean untuk melantik utusan.
Encik Blinken menyertai perbincangan secara maya dengan menteri luar Asean, satu tawaran terbaru oleh pentadbiran Presiden Joe Biden untuk berada di hadapan dalam persaingan Amerika dengan China.
Menjelang rundingan Asean, ketua junta Myanmar berjanji mengadakan pilihan raya dan menarik balik darurat menjelang Ogos 2023, memanjangkan tempoh masa awal yang diberikan kepada tentera yang menggulingkan pemimpin yang dipilih, Cik Aung San Suu Kyi pada 1 Februari lalu.
"Tindakan itu menunjukkan Asean harus meningkatkan usahanya kerana jelas junta Burma hanya melengahkan masa untuk keuntungannya sendiri," kata seorang pegawai kanan Amerika.
"Semakin banyak alasan mengapa Asean harus terbabit dalam hal ini dan menegakkan syarat lima poin konsensus yang juga ditandatangani oleh Myanmar.
"Ketua Junta, Jeneral Min Aung Hlaing menghadiri pertemuan dengan anggota Asean mengenai krisis pada April lalu yang menghasilkan kenyataan konsensus yang menyeru keganasan dihentikan dan utusan khas wilayah dilantik."
Tetapi, pemimpin junta kemudian menjauhkan diri dan tiada utusan yang dilantik, manakala lebih 900 orang dilaporkan terbunuh dalam tindakan keras selama enam bulan.
Pegawai Amerika itu berkata Encik Blinken akan menangani 'pemaksaan' Beijing terhadap negara Asean di Laut China Selatan dan menyoroti masalah hak asasi manusia di China.
Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Lloyd Austin, mengunjungi Asia Tenggara minggu lalu, dengan menyatakan tuntutan Beijing ke atas Laut China Selatan tidak mempunyai asas dalam undang-undang antarabangsa.
Naib Presiden, Cik Kamala Harris, bulan ini bercadang mengunjungi Singapura dan Vietnam.
Menteri Luar Indonesia, Cik Retno Marsudi, dijangka bertemu Encik Blinken secara langsung di Washington minggu ini, sementara Wakil Menteri Luar, Cik Wendy Sherman sebelumnya mengunjungi Indonesia, Thailand dan Kemboja yang sering dilihat sebagai negara Asean yang paling pro-Beijing.
Dalam pada itu, kudeta yang berlaku di Myanmar menyaksikan kira-kira 580,000 wanita di Myanmar hilang pekerjaan sejak tentera menggulingkan pemerintah pimpinan Cik Suu Kyi, enam bulan lalu.
Kenyataan bersama mengenai kesan krisis politik dan kesihatan di Myanmar, Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Wanita di Myanmar memaklumkan golongan wanita dan remaja sukar mendapatkan akses perkhidmatan kesihatan.
"Kini ada lebih 685,000 wanita hamil di Myanmar dan dianggarkan 250 nyawa ibu di ambang kematian jika mereka masih tidak mendapat rawatan yang sewajarnya.
"Tambahan pula, lebih lima juta remaja dan kanak-kanak (10 hingga 19 tahun) di Myanmar akan mengalami masalah kesihatan selain tidak mendapat pendidikan dan keselamatan mereka terancam," menurut kenyataan itu. - AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg