BEIJING: Pasukan pencari telah menemui kotak hitam kedua - perakam data penerbangan - daripada serpihan jet Boeing 737-800 China Eastern Airlines yang terhempas ke lereng gunung di selatan China, media pemerintah melaporkan.
Penerbangan MU5735, dengan 132 penumpang dan kru, sedang dalam perjalanan dari bandar barat daya Kunming ke Guangzhou di pantai pada Isnin lalu apabila ia menjunam daripada ketinggian penerbangan pada masa yang sepatutnya memulakan pendaratannya.
Pesawat itu kehilangan ketinggian lebih 20,000 kaki dalam masa lebih seminit sebelum terhempas ke lereng bukit di wilayah Guangxi.
Dalam sidang akhbar lewat kelmarin, pegawai penyiasat mengumumkan bahawa kesemua penumpang dan sembilan kru disahkan terkorban dalam tragedi itu.
Punca nahas masih belum diketahui.
Kotak hitam yang pertama - perakam suara kokpit - telah pun ditemui minggu lalu dan telah dihantar ke Beijing untuk pemeriksaan oleh pakar.
Nahas itu merupakan bencana udara paling buruk di tanah besar China sejak 1994, apabila penerbangan China Northwest Airlines dari Xian ke Guangzhou terhempas, mengorbankan kesemua 160 orang di dalamnya. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg