Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Najib diberi notis muflis berhubung bil cukai $564 juta

Apr 8, 2021 | 5:30 AM
DATUK NAJIB TUN RAZAK: Meminta peguamnya mendapatkan perintah penangguhan berkaitan notis muflis Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia. - Foto REUTERS
DATUK NAJIB TUN RAZAK: Meminta peguamnya mendapatkan perintah penangguhan berkaitan notis muflis Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia. - Foto REUTERS -

KUALA LUMPUR: Mantan perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata beliau telah diberi notis muflis oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri kerana gagal membayar bil cukai berjumlah RM1.74 bilion ($564 juta).

Dalam satu catatan Facebooknya kelmarin, beliau mengatakan cukai "zalim" yang dikenakan kepadanya tidak ada merit, dan beliau telah meminta peguamnya mendapatkan perintah penangguhan.

"Saya akan menggunakan semua kemampuan saya untuk membuat rayuan terbaik bersama peguam saya, untuk membantu hakim yang bijak membuat keputusan berdasarkan kebenaran," tulisnya.

Datuk Najib berkata kes itu berkaitan RM3 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun di bawah namanya yang digunakan untuk menerima sumbangan bagi tanggungjawab sosial korporat dan bagi tujuan politik.

Notis muflis itu muncul sedang beliau memulakan rayuannya terhadap sabitannya tahun lalu dalam kes melibatkan jutaan ringgit yang beliau terima daripada bekas unit dana negara yang bermasalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mahkamah Malaysia memutuskan tahun lalu bahawa Datuk Najib mesti membayar cukai sebanyak RM1.69 bilion, satu jumlah yang dibantahnya.

Menjadi muflis bermakna beliau akan kehilangan kerusi parlimennya dan tidak layak bertanding dalam pilihan raya parti dan nasional, katanya.

Datuk Najib kini menjadi pengkritik lantang terhadap kerajaan sedia ada walaupun partinya, Umno, menjadi sebahagian daripada kerajaan yang memerintah.

Baru-baru ini Umno mengatakan akan menamatkan hubungannya dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaik sahaja parlimen dibubar bagi diadakan pilihan raya umum.

Pada Isnin lalu, Mahkamah Rayuan Malaysia mula mendengar usaha Datuk Najib hendak mengetepikan sabitannya terhadap tuduhan rasuah bagi kes bernilai berbilion dolar dana 1MDB.

Beliau, yang tewas dalam pilihan raya bersejarah 2018, menghadapi beberapa perbicaraan atas tuduhan bahawa AS$4.5 bilion ($6.06 bilion) dicuri daripada 1MDB, dana negara yang ditubuhkannya pada 2009.

Beliau telah tidak mengaku bersalah atas semua tuduhan.

Tahun lalu, beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda AS$50 juta setelah didapati bersalah bagi kesalahan pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram kerana menerima secara haram kira-kira AS$10 juta daripada SRC International, sebuah unit 1MDB. - Agensi berita, Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg