PETALING JAYA: Jabatan Penjara memaklumkan bekas perdana menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, dihantar ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) untuk rawatan dan pemantauan lanjut sejak Isnin lalu (19 Sep) berdasarkan rujukan Hospital Kuala Lumpur (HKL). "Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara sebaik saja pihak pakar perubatan HRC atau HKL memberi pelepasan perubatan ke atas beliau," katanya dalam kenyataan. Jabatan itu turut menjelaskan bahawa selaras dengan Akta Penjara, pihaknya bertanggungjawab memastikan tahap kesihatan seorang banduan sentiasa dipantau dan dijaga. Katanya, ini termasuk penyediaan kemudahan rawatan dan ubat-ubatan sebagaimana disyorkan pegawai perubatan kerajaan. Encik Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes dana RM42 juta ($12.9 juta) SRC International Sdn Bhd. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg