Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Najib gagal dalam rayuan batal hukuman penjara 12 tahun, denda RM210 juta

Mahkamah Rayuan pertahan keputusan Mahkamah Tinggi atas tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram
Dec 9, 2021 | 5:30 AM
PELUANG TERAKHIR: Datuk Najib (atas) akan kemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan melalui pasukan peguam belanya dan ia langkah terakhir dalam usaha membatalkan semua sabitan dan hukuman ke atasnya. - Foto AFP
PELUANG TERAKHIR: Datuk Najib (atas) akan kemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan melalui pasukan peguam belanya dan ia langkah terakhir dalam usaha membatalkan semua sabitan dan hukuman ke atasnya. - Foto AFP -

PUTRAJAYA: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, gagal dalam rayuannya setelah Mahkamah Rayuan semalam mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun seiring denda RM210 juta ($67.85 juta) yang dijatuhkan ke atas beliau sebelum ini.

Keputusan ini dicapai 17 bulan setelah bekas presiden Umno itu didapati bersalah dan dijatuhi hukuman tersebut pada Julai 2020 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan melakukan pengubahan wang RM42 juta secara haram yang dimiliki syarikat SRC International Sdn Bhd.

SRC merupakan anak syarikat kepada syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan semalam membenarkan permohonan Datuk Najib menangguhkan perlaksanaan hukuman ke atasnya sementara rayuan dikemukakan di Mahkamah Persekutuan oleh pasukan peguam belanya yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Langkah ini adalah peluang terakhir Ahli Parlimen Pekan (Pahang) itu dalam usahanya membatalkan semua sabitan dan hukuman ke atasnya.

Sementara menunggu rayuannya diperdengar di Mahkamah Persekutuan - yang tempohnya boleh mencapai sehingga setahun - Mahkamah Rayuan telah mengekalkan syarat-syarat ketat yang dikenakan Mahkamah Tinggi ke atas pesalah itu, iaitu diikat jamin RM2 juta, pasport perlu diserahkan ke mahkamah dan perlu lapor diri ke balai polis berdekatan dua kali sebulan.

Datuk Najib, 68 tahun, telah membayar wang ikat jamin berkenaan selepas disabitkan tuduhan di Mahkamah Tinggi.

Dia tidak hadir di Mahkamah Rayuan semalam dengan prosiding dijalankan secara maya menerusi kaedah 'Zoom' setelah menjadi kontak kasual anggota pasukan pembelaannya, Encik Muhammad Farhan, yang sah positif Covid-19.

Datuk Najib sebelum ini cuba mengemukakan permohonan saat akhir - mahu memasukkan bukti dan keterangan baharu untuk dipertimbangkan dalam rayuannya ini, tetapi telah ditolak Mahkamah Rayuan kelmarin.

Semalam, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara menyatakan keputusan Mahkamah Tinggi adalah betul dan "tidak terkhilaf" apabila mensabitkan pemimpin politik itu dengan kesemua tujuh tuduhan.

Mahkamah Rayuan mendapati Datuk Najib diberikan kuasa istimewa dalam SRC kerana peranannya sebagai perdana menteri ketika itu.

Dalam hujah pembelaannya, perayu yang menjadi perdana menteri selama sembilan tahun, antara 2009 dengan 2018, menyatakan tindakannya adalah bagi kepentingan nasional.

Ini bagaimanapun ditolak Hakim Datuk Abdul Karim yang berkata:

"Ini bukan bagi kepentingan nasional seperti didakwa, ini memalukan negara," ujarnya.

Datuk Abdul Karim juga berkata, Mahkamah Rayuan mendapati wang yang dipindahkan ke dalam akaun Datuk Najib adalah hasil daripada aktiviti haram dan perayu mengetahui mengenai kemasukan wang daripada dana SRC itu ke dalam akaunnya.

"Kami bersetuju dengan dapatan hakim Mahkamah Tinggi bahawa tuduhan pengubahan haram berjaya dibuktikan melampaui keraguan munasabah.

"Kami mendapati Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes pecah amanah jenayah melampaui keraguan munasabah.

"Kami mendapati sabitan Mahkamah Tinggi terhadap semua tuduhan pengubahan wang haram terhadap perayu juga adalah selamat," katanya.

Pihak media setempat dan antarabangsa mula berkumpul di kawasan kediaman Datuk Najib di Pavillion Residence dan Jalan Langgak Duta susulan keputusan Mahkamah Rayuan namun tiada pergerakan dilihat di kedua-dua lokasi berkenaan. - BHM, Utusan Malaysia, Harian Metro

"Kami bersetuju dengan dapatan hakim Mahkamah Tinggi bahawa tuduhan pengubahan haram berjaya dibuktikan melampaui keraguan munasabah. Kami mendapati Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes pecah amanah jenayah melampaui keraguan munasabah. Kami mendapati sabitan Mahkamah Tinggi terhadap semua tuduhan pengubahan wang haram terhadap perayu juga adalah selamat." - Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg