KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dijangka mendapatkan semula barangan mewah bernilai AS$17.4 juta ($23.8 juta) yang dirampas pihak berkuasa, selepas Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa harta itu tidak ada kaitan dengan skandal rasuah melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Tinggi, Muhammad Jamil Hussin, menolak permohonan pendakwa raya untuk merampas 2,000 barangan mewah bernilai sekitar RM80 juta ($23.8 juta) kerana tiada bukti yang barangan tersebut diperolehi dengan menggunakan dana 1MDB.

Encik Najib tersingkir dalam pilihan raya umum 2018 gara-gara kemarahan rakyat terhadap penglibatannya dalam skandal berbilion dolar dana 1MDB.

Dia kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah dalam perbicaraan ke atas kes itu.

Ekoran kekalahannya dalam pilihan raya tersebut, polis telah merampas wang tunai dan barangan mewah termasuk tas tangan, jam tangan dan perhiasan bernilai hampir AS$300 juta dalam serbuan di beberapa tempat yang ada kaitannya dengan Encik Najib.

Bekas perdana menteri itu, yang telah berulang kali menafikan melakukan kesalahan, mendakwa barangan tersebut adalah berupa hadiah kepadanya.

Barangan yang dirampas itu akan dikembalikan kepada keluarga Encik Najib, kata peguam belanya, Tan Sri Mohamed Shafee Abdullah kepada para pemberita.

"Tak ada kaitannya dengan 1MDB," kata Tan Sri Mohamed Shafee.

"Mahkamah telah menolak (permohonan) kerana tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan wang diperolehi dengan cara haram."

Encik Najib tetap mengatakan barangan itu adalah berupa hadiah dan wang tunai pula milik parti.

Sekitar RM114 juta telah dikembalikan kepada Encik Najib tahun lalu selepas mahkamah menolak permohonan pihak berkuasa untuk merampas wang tunai tersebut.

Pejabat Peguam Negara tidak memberikan respons segera atas permintaan mendapatkan ulasan yang dikirimkan melalui e-mel.

Keputusan mahkamah itu dibuat beberapa hari sebelum pilihan raya umum akan diadakan, memungkinkan parti yang pernah dipimpin Encik Najib, Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa.

Perikatan BN itu kembali berkuasa tahun lalu di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, setelah dua pentadbiran sebelumnya bubar gara-gara tengkarah politik. - Reuters.