WASHINGTON: Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (Nasa) akan membuat percubaan keduanya pada Sabtu ini untuk melancarkan roket Sistem Pelancaran Angkasa Lepas (SLS) ke bulan, lima hari selepas beberapa isu teknikal menggagalkan percubaannya Isnin lalu, menurut para pegawai agensi itu kelmarin.
Tetapi kemungkinan berhasilnya percubaan kali kedua itu juga dikatakan samar-samar kerana laporan kaji cuaca menjangkakan hanya 40 peratus peluang berjaya.
Keadaan cuaca tidak begitu baik pada hari itu, sedang agensi angkasa lepas Amerika Syarikat itu akui masih ada beberapa isu teknikal yang perlu diperbaiki.
Justeru, pelancaran tersebut boleh disifatkan sebagai suatu raptai yang diharap dapat menghasilkan kejayaan sebenar apabila diulang lancar nanti.
Buat masa ini, para pegawai Nasa berkata rancangan pelancaran roket SLS setinggi 98 meter itu ditangguhkan bagi memeriksa dan diuji semula serta diperbaiki jika perlu.
Setelah semuanya berjalan baik, diharapkan SLS itu akan dilancarkan dari Pusat Angkasa Lepas Kennedy di Cape Canaveral, Florida, pada Sabtu tengah hari (kira-kira 2.17 pagi Ahad waktu Singapura).
Kapal angkasa Orion yang tidak berpemandu itu akan berada di sekitaran bulan selama enam minggu dan kembali ke bumi.
Pelancaran kapal angkasa itu yang sudah sekian lama ditunggu-tunggu, menandakan bermulanya rancangan Nasa bagi penerbangan ke bulan sebagai lanjutan kepada projek-projek Apollo pada tahun 1960-an dan 70-an. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg