DUBAI: Misi pertama kapal angkasa Arab selamat memasuki orbit planet Marikh semalam selepas melalui tahap paling kritikal dalam pengembaraannya untuk membongkar rahsia cuaca di Planet Merah itu.
Ia satu perjalanan tujuh bulan merentasi jarak kejauhan 494 juta kilometer dari Bumi.
Kapal angkasa dinamakan 'Al-Amal', dalam bahasa Arab yang bermaksud 'Harapan', dilancarkan di Jepun tahun lalu, antara usaha terakhir dalam program ruang angkasa Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Misi angkasa itu adalah bukti kesungguhan negara yang kaya minyak itu untuk meneruskan kegemilangan Asia Barat dalam pencapaian budaya dan ilmiah.
UAE negara yang terdiri daripada tujuh kota Arab termasuk Dubai dan Abu Dhabi itu memiliki 12 satelit di orbit serta merancang untuk melancarkan beberapa lagi pada tahun berikutnya.
Cita-cita UAE melangkah lebih jauh, yang mana mereka berhasrat membina petempatan manusia di Marikh menjelang 2117.
UAE mempunyai rancangan untuk melancarkan rover tanpa pemandu ke bulan menjelang 2024 dan juga mengawasi projek perlombongan masa depan di luar Bumi serta pelancongan angkasa.
Negara itu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat pelancongan ruang angkasa milik Encik Richard Branson, Virgin Galactic.
UAE juga mengumumkan pembentukan 'mahkamah angkasa' untuk menyelesaikan pertikaian komersial berkaitan industri angkasa. - AFP.