Negara Asia ambil langkah tangani harga minyak naik

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Negara Asia ambil langkah tangani harga minyak naik

Mar 9, 2026 | 2:06 PM

Negara Asia ambil langkah tangani harga minyak naik

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Asia, Iran, Israel, United States, conflict, war, oil price, emergency
Penunggang motosikal menunggu untuk mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Hanoi pada 9 Mac. Vietnam sedang mempertimbangkan rancangan untuk memansuhkan tarif import bahan api bagi memastikan bekalan mencukupi selepas perang antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran menjejaskan bekalan minyak global dan mendorong harga ke paras tertinggi sejak 2022. - Foto AFP

HANOI: Beberapa pemerintah di Asia mula mengambil langkah kecemasan bagi melindungi ekonomi masing-masing daripada kesan lonjakan harga minyak dunia yang dicetuskan oleh konflik bersenjata antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran.

Harga minyak mentah global melonjak mendadak melepasi AS$105 ($134) setong dan sempat mencecah paras tertinggi AS$108 pada 8 Mac, manakala pasaran saham merosot kerana kebimbangan bahawa konflik tersebut akan menjejaskan bekalan tenaga dunia dan menekan sektor industri.

Kenaikan tersebut bermakna harga minyak kini kira-kira 50 peratus lebih tinggi berbanding sebelum serangan Amerika dan Israel ke atas Iran bermula pada 28 Februari lalu.

Di Korea Selatan, Presiden Lee Jae Myung berkata pemerintah sedang merancang untuk memperkenalkan had harga bahan api domestik bagi mengekang kenaikan mendadak harga minyak.

Langkah itu akan menjadi kali pertama dilaksanakan dalam tempoh hampir 30 tahun.

Ketika berucap dalam mesyuarat kecemasan mengenai kesan krisis Asia Barat, Encik Lee berkata pemerintah akan bertindak segera untuk menstabilkan harga tenaga.

“Kami akan memperkenalkan dan melaksanakan sistem harga maksimum bagi produk petroleum yang mengalami kenaikan harga berlebihan sejak kebelakangan ini,” katanya.

Selain itu, Seoul juga sedang mencari sumber tenaga alternatif yang tidak melalui Selat Hormuz, laluan perkapalan penting yang kini terjejas akibat konflik.

Encik Lee turut berkata pemerintah bersedia memperluas program penstabilan pasaran bernilai 100 trilion won ($85.7 bilion) sekiranya keadaan ekonomi memerlukan.

Perdana Menteri Jepun, Cik Sanae Takaichi, berkata pemerintah sedang menilai pelbagai pilihan bagi mengurangkan kesan konflik Asia Barat terhadap ekonomi negara.

“Ramai rakyat bimbang mengenai kenaikan harga petrol. Dengan mengambil kira perkara ini, pemerintah sedang meneliti langkah yang boleh diambil untuk melindungi ekonomi,” katanya ketika berucap di Parlimen.

Kerajaan Jepun turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengarahkan kemudahan penyimpanan rizab minyak negara bersiap sedia untuk kemungkinan pelepasan stok.

Ahli politik dari parti pembangkang, Encik Akira Nagatsuma, berkata arahan tersebut diberikan sebagai langkah awal untuk menstabilkan bekalan tenaga sekiranya krisis bertambah buruk.

Vietnam merancang untuk memansuhkan tarif import bahan api buat sementara waktu bagi memastikan bekalan tenaga mencukupi.

Kementerian Kewangan Vietnam mencadangkan kadar tarif import petroleum tertentu dikurangkan kepada sifar peratus bagi mempelbagaikan sumber bekalan dan menstabilkan pasaran domestik.

Langkah tersebut dijangka berkuat kuasa sehingga 30 April, dengan kemungkinan dilanjutkan bergantung kepada keadaan pasaran tenaga global.

Menurut kementerian itu, dasar tersebut bertujuan “melindungi keselamatan tenaga negara dan memastikan bekalan bahan api kekal stabil”.

Di Asia Selatan, Pakistan telah menaikkan harga petrol dan diesel sebanyak 55 rupee ($0.25) seliter, susulan kenaikan harga minyak global.

Menteri Petroleum Pakistan, Encik Ali Pervaiz Malik, berkata harga petrol baru kini mencecah 321.17 rupee seliter, manakala diesel meningkat kepada 335.86 rupee seliter.

“Bagi memastikan rantaian bekalan dan aktiviti ekonomi terus berjalan lancar, pemerintah memutuskan untuk menaikkan harga petrol dan diesel,” katanya dalam sidang media.

Kenaikan harga minyak global turut mencetuskan barisan panjang di beberapa stesen minyak di Pakistan, apabila pengguna bergegas mengisi tangki sebelum harga baru berkuat kuasa.

Di India, harga silinder gas petroleum cecair (LPG) bagi kegunaan isi rumah turut meningkat sebanyak 60 rupee kepada 913 rupee.

Namun Menteri Petroleum India, Encik Hardeep Singh Puri, memberi jaminan bahawa bekalan tenaga negara masih stabil walaupun konflik Asia Barat menimbulkan kebimbangan global.

“Keutamaan kami ialah memastikan bahan api yang mampu milik dan mampan sentiasa tersedia untuk rakyat. Tiada kekurangan tenaga di India dan tiada sebab untuk pengguna bimbang,” katanya menerusi platform X.

Ketegangan geopolitik turut menjejaskan pergerakan kapal tangki tenaga di Selat Hormuz, laluan strategik yang biasanya mengendalikan sebahagian besar penghantaran minyak dan gas dari Asia Barat ke pasaran dunia.

Walaupun trafik kapal tangki dilaporkan menurun secara mendadak, Iran menegaskan bahawa ia tidak bercadang menutup laluan tersebut buat masa ini.

Timbalan Menteri Luar Iran, Encik Saeed Khatibzadeh, berkata tindakan sedemikian hanya akan dilakukan sekiranya diumumkan secara rasmi.

“Jika kami menutup Selat Hormuz, kami akan memaklumkannya secara terbuka,” katanya.

Dalam masa sama, pengeluar tenaga utama di rantau Teluk turut memberi amaran bahawa eksport minyak dan gas mungkin terjejas sekiranya konflik berterusan.

Menteri Tenaga Qatar, Encik Saad Al Kaabi, berkata negara pengeluar di rantau itu mungkin terpaksa menghentikan eksport dalam beberapa minggu sekiranya keadaan tidak reda.

“Semua pengeksport tenaga di rantau Teluk mungkin terpaksa menghentikan eksport buat sementara waktu sekiranya konflik ini berlarutan,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg