WASHINGTON: Pemimpin Kumpulan Tujuh (G7) akan mengadakan perbincangan hari ini dengan Encik Volodymyr Zelensky, selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Encik Joe Biden, pada awal minggu ini berkata mereka akan membincangkan tindakan tambahan sebagai respons terhadap pelanggaran Russia ke atas Ukraine.

Perbincangan ini akan memberi tumpuan terhadap perkembangan terbaru peperangan yang telah meletus sejak 24 Februari lalu, usaha bagi mempertingkat daya pertahanan Ukraine dan usaha untuk menonjolkan "perpaduan berterusan G7 dalam respons secara bersama, termasuk dengan melaksanakan tindakan paling keras ke atas peperangan yang dilancarkan Putin", kata seorang jurucakap bagi Majlis Keselamatan Nasional Rumah Putih, pada Isnin lalu.

Pemimpin negara-negara G7 merangkumi AS, Britain, Perancis, Jerman, Jepun, Kanada dan Italy, akan mengadakan mesyuarat secara maya dengan Encik Zelensky pada pagi ini, tambah jurucakap tersebut.

AS dan perikatannya sebelum ini menunjukkan perpaduan dalam pelbagai langkah sekatan menyeluruh yang dilaksanakan yang mensasarkan bank Russia, pegawai dan entiti lainnya - yang bertujuan menghukum Moscow atas tindakan mereka, termasuk dakwaan melakukan jenayah perang.

Russia menganggap pelanggaran ke atas Ukraine sebagai satu operasi khas bagi mematahkan keupayaan ketenteraannya dan "menamatkan pengaruh Nazi" di Ukraine.

Sementara itu, Presiden Zelensky berkata usaha diplomatik sedang dijalankan bagi menyelamatkan pejuang tentera yang masih berada di loji pembuatan keluli di Azovstal, di bandar Mariupol, sedang lebih ramai orang awam diselamatkan dari loji yang telah dibom teruk itu.

Para pejuang Ukraine bagaimanapun telah berikrar yang mereka enggan menyerah kalah.

Encik Zelensky mengecam tentera Russia kerana 'menyeksa hingga mati' orang awam di Mariupol, menyalahkan penggerak propaganda Kremlin kerana mencetuskan kebencian ini.

"Ini perkara paling menakutkan yang kita pelajari daripada peperangan ini," katanya.

Encik Zelensky juga telah memberitahu dunia bahawa bandar pelabuhan Mariupol di tenggara negaranya sudah musnah sepenuhnya dan tiada apa-apa lagi akan jatuh ke tangan Russia.

Pegawai Ukraine bimbang pasukan Russia akan membunuh kesemua mereka pada Isnin ini, bertepatan masa untuk Moscow mengadakan hari memperingati kemenangan bekas Soviet Union ke atas Nazi Jerman semasa Perang Dunia Kedua.

Merujuk kepada rancangan Russia itu, Encik Zelensky berkata:

"Saya faham Russia ingin mengadakan perarakan untuk Hari Kemenangan, 9 Mei," katanya.

Bagaimanapun, Kremlin menafikan rancangan sedemikian kelmarin.

Dalam pada itu, seorang pegawai kanan dari Parlimen Russia semalam berkata, negara itu akan kekal berada di selatan Ukraine, selama-lamanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat bandar Kherson yang dikawal Moscow.

"Russia berada di sini selama-lamanya. Tiada keraguan mengenai hal ini. Tidak akan kembali ke masa lalu," kata Encik Andrey Turchak memetik satu kenyataan daripada parti pemerintah United Russia.

"Kita akan hidup bersama, membangunkan wilayah kaya, kaya dengan warisan sejarah, kaya dengan orang yang tinggal di sini," tambah Encik Turchak.

Beliau turut mengumumkan pembukaan pusat bantuan kemanusiaan di Kherson untuk penghantaran makanan, ubat-ubatan dan beberapa barang keperluan.

Itu kali pertama seorang pegawai kanan Russia menyatakan hasrat Moscow mahu kekal wujud di wilayah Ukraine.

Kherson merupakan bandar utama pertama yang jatuh ke tangan tentera Russia, sejak permulaan operasi ketenteraan negara itu di Ukraine.

Pada bulan lalu, tentera Russia mendakwa pihaknya merampas kawalan di bandar pelabuhan selatan, Mariupol yang terletak di tepi Laut Azov.

Dalam pada itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, termasuk Russia, kelmarin melahirkan "kebimbangan mendalam mengenai pengekalan keamanan dan keselamatan Ukraine" dan menyokong usaha ketua PBB dalam mencari huraian damai, dalam kenyataan pertama pertubuhan itu sejak pelanggaran Moscow.

Kenyataan Majlis Keselamatan itu telah dipersetujui secara sepakat. Teks ringkas itu telah diterima kelmarin dan telah dilakarkan oleh Norway dan Mexico.

"Majlis Keselamatan melahirkan kebimbangan mendalam mengenai pengekalan keamanan dan keselamatan Ukraine," tulisnya.

"Majlis Keselamatan ingat bahawasanya kesemua Negara-Negara Anggota telah berikrar, di bawah Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kewajipan untuk menyelesaikan pertikaian antarabangsa secara aman."

Dalam usaha menghuraikan konflik ini, Ketua PBB, Encik Antonio Guterres, telah bertemu dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, di Moscow dan Presiden Zelenskiyy di Kyiv, minggu lalu. - AFP, Reuters