Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

SIDANG PUNCAK HIROSHIMA G7

Negara guna dagang sebagai senjata akan hadapi 'kesan': G-7

Kedutaan China beri amaran kekata, perbuatan mudaratkannya akan hadapi 'tindak balas tegas'
May 21, 2023 | 05:30 AM



HIROSHIMA (Jepun): Amerika Syarikat dan negara demokrasi kaya lain pada Sabtu menegaskan bahawa negara yang cuba menggunakan perdagangan sebagai senjata akan menghadapi "kesannya", menghantar isyarat kuat kepada China mengenai amalan yang telah lama Washington dakwa sebagai 'buli ekonomi'.



Pemimpin negara Kumpulan Tujuh (G-7), yang bertemu di bandar Hiroshima, Jepun, sempena sidang puncak selama tiga hari, juga berjanji memperkukuh rantaian bekalan dengan rakan kongsi, terutamanya bagi penghasilan dan bekalan cip, bateri dan mineral.



Kenyataan daripada G-7 itu, dalam satu kenyataan bersama mengenai "daya tahan ekonomi dan keselamatan ekonomi" tidak secara khusus menyebut China, walaupun ia nampaknya antara yang paling jelas ditujukan kepada Beijing berkaitan penggunaan perdagangan sebagai alat politik.



G7 sasar tindakan 'paksaan ekonomi' oleh Beijing



Amerika dan rakan kongsinya semakin bimbang tentang peranan besar yang dimainkan China kini dalam rantaian bekalan dunia, daripada semikonduktor kepada mineral kritikal.



Sidang puncak Hiroshima diadakan sedang anggota G-7 berdepan dengan cabaran besar yang ditimbulkan oleh pencerobohan Russia ke atas Ukraine dan ketegangan dengan China.



G-7 terdiri daripada Britain, Canada, Perancis, Jerman, Italy, Jepun dan Amerika.



Pada masa sama, Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, dijadual tiba di Hiroshima pada Sabtu, hari kedua sidang puncak itu, untuk meningkatkan sokongan dalam usaha mempertahan negaranya.



Ketibaannya di bandar pertama dunia yang diserang bom atom itu berlaku sedang timbulnya ancaman nuklear daripada Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, yang telah menggusarkan Barat.



"Kami akan bekerjasama untuk memastikan percubaan menggunakan pergantungan ekonomi sebagai senjata dengan memaksa anggota G-7 dan rakan kongsi kami, termasuk ekonomi kecil, patuh dan akur akan gagal dan menghadapi kesannya," kata para pemimpin kumpulan itu dalam satu kenyataan.



China memberi tekanan kepada Jepun lebih sedekad lalu dengan mengehadkan kuota eksport nadir bumi selepas satu pertikaian wilayah.



Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Beijing mendesak syarikat berbilang negara supaya memutuskan hubungan dengan Lithuania atau menghadapi sekatan kepada pasaran China.



Perbalahan itu berlaku selepas Lithuania, sebuah negara kecil di Eropah Timur, membenarkan pembukaan kedutaan de facto Taiwan, yang dilihat China sebagai sebahagian wilayahnya.



Kedutaan China di Britain memberi amaran kepada negara G-7 bahawa sebarang perkataan atau perbuatan yang memudaratkan kepentingannya akan berdepan dengan "tindak balas tegas".



Namun, China kekal sebagai rakan perdagangan utama G-7, bermakna walaupun mereka berusaha mengurangkan pendedahan kepada China, termasuk berkaitan teknologi canggih yang memberi kesan kepada keselamatan negara, mereka tidak dapat meninggalkan hubungan ekonomi begitu sahaja.



Negara G-7 sedang mencari jalan untuk "mengurangkan risiko", bukan "memisahkan diri" dari China, ujar penasihat keselamatan Rumah Putih, Encik Jake Sullivan, kepada wartawan di Hiroshima.



Dalam satu draf kenyataan yang dilihat Reuters, pemimpin G-7 bersetuju status China sebagai ekonomi kedua terbesar di dunia bermakna mereka perlu terus bekerjasama.



"Kami tidak berniat menggagalkan kemajuan dan pembangunan ekonomi China," kata pemimpin kumpulan itu dalam draf tersebut, yang tertakluk kepada perubahan.



G-7 juga mencari jalan baru berkaitan pencerobohan Russia ke atas Ukraine, dengan berjanji akan menutup sebarang jurang yang telah membolehkan Moscow mengelak sekatan dengan mengimport barangan melalui negara bukan G-7.



Pemimpin kumpulan itu berkata mereka telah memastikan Ukraine mendapat sokongan bajet hingga awal 2024. - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >