ISTANBUL: Negara-negara Arab dan seluruh dunia Islam terus mengecam tindakan pelampau sayap kanan Sweden-Denmark, membakar Al-Quran di ibu negara Sweden, Stockholm.
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) , Arab Saudi, Mesir, Qatar, Pakistan, Afghanistan, Azerbaijan , Turkey, Malaysia, Kuwait, Oman, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Iran, Bangladesh serta Jordan adalah antara pertubuhan dan negara yang mengecam tindakan pihak berkuasa Sweden kerana membenarkan ahli politik sayap kanan itu membakar Al-Quran.
Negara-negara itu turut mengecam sekeras-kerasnya kebenaran Sweden membakar Al-Quran di luar Kedutaan Turkey di Stockholm.
Encik Rasmus Paludan, ketua Parti Stram Kurs, kini di bawah perlindungan polis mendapat kebenaran daripada kerajaan untuk membakar senaskhah Al-Quran di luar Kedutaan Turkey di Stockholm, Sabtu lalu.
OIC mengecam pembakaran Al-Quran sebagai tindakan provokatif yang "mensasarkan umat Islam, menghina nilai-nilai suci mereka dan menjadi contoh membimbangkan mengenai Islamofobia" dan meminta Sweden menghukum mereka yang berada di belakang jenayah kebencian.
Dalam satu kenyataannya, Kementerian Luar Arab Saudi menekankan "pendirian tegas kerajaan yang menyeru terhadap kepentingan menyebarkan dialog, toleransi dan kewujudan bersama dan menolak kebencian serta ekstremisme.
Kementerian Luar Mesir mengecam pembakaran Al-Quran sebagai "perbuatan yang memalukan."
"Amalan ekstremis ini tidak konsisten dengan nilai menghormati orang lain, kebebasan kepercayaan, hak asasi manusia dan kebebasan asasi manusia," tambah Mesir.
Kementerian luar Qatar dalam satu kenyataan berkata kejadian kejam ini adalah satu tindakan menghasut dan provokasi serius terhadap perasaan lebih dua bilion umat Islam di dunia.
UAE juga mengutuk insiden itu dan mengulangi "penolakannya terhadap semua amalan yang bertujuan menjejaskan keselamatan dan kestabilan yang bertentangan dengan nilai dan prinsip manusia dan moral."
UAE memperbaharui gesaannya untuk meninggalkan ucapan kebencian dan keganasan dan menekankan keperluan untuk menghormati simbol agama dan mengelakkan hasutan kebencian dengan menghina agama.
Menteri Luar Kuwait, Sheikh Salem Abdullah Al-Jaber Al-Sabah, mengecam pembakaran Al-Quran, berkata insiden itu "mencederakan sentimen umat Islam di seluruh dunia dan menandakan provokasi yang serius".
Iran juga menamakan pembakaran al-Quran sebagai cubaan untuk mencetuskan kebencian dan keganasan terhadap umat Islam.
Jordan menyertai paduan suara kecaman dan menekankan "penolakan kerajaan terhadap tindakan ini yang menyemarakkan kebencian."
Kementerian Luar Maghribi berkata:
"Perbuatan penuh kebencian ini menyinggung perasaan lebih satu bilion umat Islam, boleh menyemarakkan kemarahan dan kebencian antara agama dan rakyat," menurut Kementerian Luar Maghribi dengan memberi amaran menerusi satu kenyataan.
Pakistan menggelar insiden itu sebagai "tindakan Islamofobia yang tidak masuk akal dan provokatif yang menyakiti sensitiviti agama lebih 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia."
Kementerian Luar Bangladesh mengecam "tindakan menghina nilai-nilai suci umat Islam di seluruh dunia dengan bertopengkan kebebasan bersuara".
Kementerian Luar dalam kerajaan sementara Taleban di Afghanistan juga dengan keras mengutuk pembakaran dan mencemarkan Al-Quran serta menggesa kerajaan Sweden menghukum pelakunya.
Sebagai tindak balas kepada kebenaran Sweden untuk insiden itu, Ankara membatalkan lawatan Menteri Pertahanan Sweden, Encik Pal Jonson yang akan berkunjung ke Turkey. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg