WASHINGTON: Amerika Syarikat dan negara-negara sekutu kini mengejar masa untuk memindahkan seramai mungkin penduduk Afghanistan sebelum tarikh akhir esok.
Usaha gabungan itu sejauh ini telah memindahkan 113,500 orang sejak 14 Ogos, sehari sebelum Taleban memasuki Kabul, kata Rumah Putih kelmarin.
Tentera AS akan terus mengangkut penumpang dari lapangan terbang Kabul hingga esok jika diperlukan, tetapi akan mengutamakan tentera AS dan peralatan ketenteraan pada beberapa hari terakhir, kata Pentagon.
Washington telah memindahkan 5,400 warga AS sejak 14 Ogos, menurut pemerintah AS.
Masih terdapat kira-kira 350 warga AS di Afghanistan yang berusaha meninggalkan negara itu, kata jurucakap Jabatan Negara.
Pesawat tentera terakhir Britain pula telah meninggalkan Kabul kelmarin setelah memindahkan lebih dari 15,000 orang dalam tempoh dua minggu sejak Taleban menguasai Afghanistan, kata Kementerian Pertahanan negara itu.
Angkatan tentera Canada di Kabul pula telah mengakhiri usaha pemindahan untuk rakyat dan warga Afghanistan pada Khamis lalu, kata pemangku ketua kakitangan pertahanan, Jeneral Wayne Eyre.
Beliau berkata Canada telah memindahkan atau memfasilitasi pemindahan kira-kira 3,700 warga Canada dan Afghanistan.
Jerman menamatkan penerbangan evakuasi pada Khamis lalu. Tentera Jerman telah memindahkan 5,347 orang, termasuk lebih daripada 4,100 warga Afghanistan.
Jerman sebelum ini telah mengenal pasti 10,000 orang yang perlu dipindahkan, termasuk kakitangan tempatan Afghanistan, wartawan dan aktivis hak asasi manusia.
Negara-negara Eropah lain termasuk Italy, Perancis, Belgium, Ireland, Poland, Belanda, Hungary, Switzerland dan Austria turut melancarkan rancangan pemindahan rakyat mereka.
Sementara itu, negara-negara Timur Tengah turut membantu operasi pemindahan secara besar-besaran.
Qatar memberitahu pada Khamis lalu pihaknya telah membantu memindahkan lebih dari 40,000 orang ke Doha dan "usaha pemindahan akan diteruskan dalam beberapa hari mendatang dengan berunding dengan rakan antarabangsa".
Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula telah membantu memindahkan 36,500 orang setakat ini, termasuk 8,500 yang datang ke UAE melalui syarikat penerbangan nasional atau lapangan terbangnya. - Agensi berita.