Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Netanyahu akui setuju operasi letupkan peranti Hezbollah

Nov 11, 2024 | 1:47 PM
Beberapa penyokong Maccabi telah membakar bendera Palestin di Dam Square dan merosakkan sebuah teksi dalam kejadian di Amsterdam pada 10 November.
Beberapa penyokong Maccabi telah membakar bendera Palestin di Dam Square dan merosakkan sebuah teksi dalam kejadian di Amsterdam pada 10 November. - Foto AFP

BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata beliau bersetuju dengan serangan maut pada September dengan meletupkan peranti komunikasi Hezbollah di Lebanon, kali pertama Israel mengaku terlibat.

Hezbollah sebelum ini menyalahkan Israel atas letupan yang memberi tamparan hebat kepada kumpulan yang disokong Iran, dan berjanji akan membalas dendam.

“Netanyahu mengesahkan pada 10 November bahawa beliau memberi lampu hijau kepada operasi meletupkan alat kelui di Lebanon,” kata jurucakapnya, Encik Omer Dostri mengenai serangan itu.

Peranti yang digunakan Hezbollah meletup dua hari berturut-turut di pasar raya, di jalanan dan di upacara pengebumian pada pertengahan September.

Letupan itu telah membunuh hampir 40 orang dan mencederakan hampir 3,000 yang lain sebagai pendahulu operasi ketenteraan Israel yang berterusan di Lebanon.

Hezbollah memulakan serangan intensiti rendah ke atas Israel sebagai menyokong Hamas berikutan serangan sekutunya pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel yang mencetuskan perang Gaza.

Pertempuran semakin meningkat sejak perang meletus di Lebanon pada akhir September, apabila Israel meningkatkan serangan udaranya terhadap Hezbollah dan kemudian menghantar tentera darat menggempur selatan Lebanon.

Sementara itu di Paris, Israel menggesa peminat mengelak perlawanan bola sepak antara Perancis dengan Israel pada 14 November.

Ia dikhuatiri mencetuskan keganasan seperti yang berlaku di Amsterdam susulan perlawanan membabitkan pasukan Israel.

Di sebalik kehadiran ramai anggota polis dan Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, pegawai Israel menggesa peminat agar menjauhkan diri kerana bimbang mereka boleh menjadi sasaran.

Perlawanan Paris akan berlangsung seminggu selepas kekecohan menyusuli perlawanan antara kelab Israel Maccabi Tel Aviv dengan pasukan Belanda Ajax di Amsterdam.

Keganasan itu dikutuk sebagai “anti-Semitic” oleh pemimpin Israel, Amerika Syarikat, Belanda dan Eropah. Kira-kira dua dozen orang cedera, manakala polis berkata mereka telah membuat lebih 60 tangkapan.

Menyifatkan perlawanan Perancis-Israel sebagai berisiko tinggi, ketua polis Paris, Encik Laurent Nunez, berkata 4,000 anggota tentera akan dikerahkan di sekitar Stade de France, pusat pengangkutan awam dan ibu kota Perancis.

Berikutan ketegangan yang semakin meningkat menjelang perlawanan Liga Europa, kumpulan lelaki yang menaiki skuter melancarkan serangan ke atas penyokong Maccabi Tel Aviv.

Dalam kejadian di Amsterdam, polis berkata beberapa penyokong Maccabi telah membakar bendera Palestin di Dam Square dan merosakkan sebuah teksi.

Polis berkata penyerang digerakkan oleh gesaan di media sosial agar menyasarkan orang Yahudi. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg