Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Netanyahu minta maaf kepada Qatar atas serangan Doha

Sep 30, 2025 | 1:35 PM
presiden donald trump, perdana menteri benjamin netanyahu
Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump (kiri) menyambut Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu di Rumah Putih di Washington, pada 29 September. - Foto EPA

WASHINGTON: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyatakan kekesalan atas serangan Israel di Doha kepada pemimpin Qatar pada 29 September, kata Rumah Putih.

Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani menerima permohonan maaf itu dalam panggilan telefon yang juga melibatkan Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump dan Encik Netanyahu.

Rumah Putih berkata Encik Netanyahu turut menyatakan kekesalan kerana Israel melanggar kedaulatan Qatar dan “menegaskan bahawa Israel tidak akan melakukan serangan sedemikian lagi pada masa depan”.

“Sebagai langkah pertama, Perdana Menteri Netanyahu menyatakan kekesalannya yang mendalam kerana serangan peluru berpandu Israel terhadap sasaran Hamas di Qatar secara tidak sengaja membunuh seorang anggota tentera Qatar,” kata kenyataan Rumah Putih itu.

Sebelum sidang akhbar dengan Encik Trump dan Encik Netanyahu, Rumah Putih turut berkata: “Para pemimpin membincangkan cadangan untuk menamatkan perang di Gaza, prospek untuk Timur Tengah yang lebih selamat, dan keperluan untuk persefahaman yang lebih besar antara negara mereka.”

Encik Trump menjadi tuan rumah kepada Encik Netanyahu untuk rundingan bagi mendesaknya menyokong cadangan damai Gaza yang bertujuan menamatkan perang hampir dua tahun yang menyaksikan Israel menghadapi pengasingan antarabangsa yang semakin meningkat.

Israel melancarkan serangan yang mencetuskan perang ke atas Gaza selepas Hamas menyerang secara mengejut di selatan Israel pada 7 Oktober 2023, membunuh lebih 1,200 orang dan menahan lebih 250 yang lain sebagai tebusan.

Sehingga kini serangan berterusan Israel telah membunuh lebih 63,000 rakyat Palestin, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas.

Serangan udara Israel pada 9 September di Doha, Qatar, melibatkan sekurang-kurangnya 15 jet pejuang Israel.

Sekurang-kurangnya lima anggota Hamas berpangkat rendah dan seorang pegawai keselamatan Qatar terbunuh dalam serangan 9 September, yang menyasarkan pemimpin kanan Hamas yang terlibat dalam rundingan mengenai cadangan gencatan senjata di Gaza.

Pemimpin tertinggi Hamas terselamat daripada cubaan pembunuhan itu.

Para penganalisis berkata tindakan Israel itu bukan sahaja melemahkan rundingan gencatan senjata, malah turut mencabar kestabilan Teluk dan hubungan diplomatik yang telah lama dibina.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Sheikh Mohammed dipetik sebagai berkata: “Saya tiada kata-kata untuk meluahkan betapa marahnya kami terhadap serangan Israel ini… Ini adalah keganasan negara. Kami dikhianati.”– Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg