TEL AVIV/DOHA: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada 16 September mempertahankan serangan udara ke atas pegawai Hamas di Doha pada 9 September, dengan menyifatkan tindakan itu “wajar” kerana kaitan Qatar dengan kumpulan berkenaan.
“Qatar ada hubungan dengan Hamas, ia memperkukuh Hamas, melindungi Hamas, membiayai Hamas... Ia ada pengaruh besar (yang boleh digunakan), tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian,” kata Encik Netanyahu pada sidang media.
“Justeru tindakan kami adalah sepenuhnya wajar,” tambah beliau.
Serangan ke atas mesyuarat Hamas di Doha itu merupakan kali pertama Israel melancarkan serangan ke atas sekutu rapat Amerika Syarikat di Teluk.
Enam orang terbunuh, namun tiada seorang pun daripada pemimpin kanan Hamas yang menjadi sasaran berjaya dibunuh, kata kumpulan itu dan sumber Israel yang dipetik media tempatan.
Tindakan tersebut mencetuskan kemarahan Qatar, yang segera menganjurkan sidang tergempar Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 15 September, menghimpunkan hampir 60 negara untuk menuntut tindakan tegas terhadap Israel.
Setiausaha Negara, Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, tiba di Doha sehari selepas sidang Arab-Islam itu yang mengutuk keras Israel.
Lawatan singkat dan tergesa-gesa itu menekankan usaha Washington meredakan ketegangan, meskipun hubungan Teluk-Amerika kini teruji.
Encik Rubio bertemu Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, dalam pertemuan tertutup di istana diraja.
Beliau meminta Qatar kekal sebagai pengantara dalam rundingan gencatan senjata Gaza, seminggu selepas Israel mengebom mesyuarat Hamas di ibu kota Doha itu.
“Kami mahu Qatar terus memainkan peranan membina dalam usaha menamatkan perang ini, dan kami amat menghargai apa yang telah mereka lakukan,” kata Encik Rubio kepada wartawan sebelum berlepas dari Tel Aviv ke Doha.
“Sudah tentu, mereka perlu putuskan sendiri selepas apa yang berlaku minggu lalu (9 September), tetapi jika ada satu negara yang boleh bantu akhiri perang ini melalui rundingan, ia adalah Qatar,” tambahnya.
Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Encik Volker Turk, mengecam keras serangan Israel ke atas Doha, menyifatkannya sebagai “pelanggaran mengejutkan terhadap undang-undang antarabangsa, serangan ke atas keamanan serantau dan tamparan terhadap integriti proses perantara di seluruh dunia”.
Di Doha, Setiausaha Agung, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pula menggesa Washington menggunakan pengaruhnya untuk mengekang Israel.
Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Encik Tommy Pigott, menegaskan bahawa Encik Rubio dalam lawatannya ke Doha akan “menyatakan semula sokongan penuh Amerika terhadap keselamatan dan kedaulatan Qatar selepas serangan Israel”.
Encik Rubio menegaskan bahawa Amerika akan tetap memuktamadkan perjanjian pertahanan dengan Qatar tidak lama lagi.
Terdahulu Presiden Amerika, Encik Donald Trump, ketika bercakap di Washington, menyatakan Encik Netanyahu “tidak akan menyerang Qatar lagi”.
Namun Encik Rubio tidak memberi jaminan serupa ketika berada di Israel.
Di sisi Encik Netanyahu, beliau hanya berkata penting untuk “melihat ke hadapan” selepas serangan itu.
Qatar kekal sebagai pemain utama dalam diplomasi Asia Barat.
Negara kecil kaya gas itu menjadi tuan rumah kepada pangkalan udara terbesar Amerika di Timur Tengah dan dianggap sekutu bukan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) paling penting oleh Washington.
Qatar berperanan sebagai pengantara penting dalam rundingan gencatan senjata serta pembebasan 251 tebusan Israel yang ditawan Hamas.
Antara 2018 dengan 2023, Qatar turut menghantar jutaan dolar setiap bulan dalam bentuk bantuan tunai dan projek pembangunan ke Gaza, dengan kelulusan Kabinet Encik Netanyahu pada ketika itu. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg