BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata keputusan pendakwa raya di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada 20 Mei untuk mendapatkan waran tangkap terhadapnya dan menteri pertahanannya adalah tidak masuk akal dan tindakan itu bertujuan menyasar seluruh Israel.
“Saya menolak dengan jijik perbandingan pendakwa raya di Hague antara demokratik Israel dengan pembunuh besar-besaran Hamas.
“Dengan keberanian manakah anda membandingkan Hamas yang membunuh, membakar, menyembelih, memenggal kepala, merogol dan menculik saudara-saudara kita dengan askar Israel yang berperang secara adil.
“Ini adalah penyelewengan realiti sepenuhnya,” kata beliau.
Beliau merujuk tindakan pendakwa raya ICC sebagai antisemitisme baru.
“Kepada rakyat Israel, saya berjanji kepada anda satu perkara – percubaan untuk mengikat tangan kita tidak akan berhasil.
“Sebagai Perdana Menteri Israel, saya berikrar bahawa tiada tekanan dan keputusan dalam mana-mana forum antarabangsa akan menghalang kita daripada menyerang mereka yang ingin memusnahkan kita,” tegasnya.
Pemimpin politik Israel bersatu dalam mengemukakan kemarahan mereka terhadap permohonan pendakwa ICC untuk menangkap Encik Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Encik Yoav Gallant.
Menteri Luar, Encik Israel Katz, menyelar cadangan untuk mendapatkan waran tangkap sebagai “menghina sejarah” dan “keputusan yang memalukan” yang sama dengan “serangan ke atas mangsa serangan Hamas pada 7 Oktober”.
Beliau menambah bahawa Israel akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk menentang cadangan itu, dan juga memulakan desakan diplomatik terhadapnya.
Presiden Israel, Encik Isaac Herzog, berkata permohonan itu menunjukkan bahawa “sistem kehakiman antarabangsa berada dalam bahaya runtuh”.
Encik Netanyahu mengaitkan usaha pendakwa raya ICC itu dengan bantahan berminggu-minggu di kampus-kampus universiti Amerika Syarikat terhadap kempen ketenteraan Israel di Gaza.
“Beginilah rupa antisemitisme baru... ia berpindah dari kampus di Barat ke ICC di The Hague. Kami akan menumbangkan pemerintahan jahat Hamas dan mencapai kemenangan sepenuhnya,” tambah beliau.
Di Amsterdam, pendakwa raya ICC berkata pada 20 Mei bahawa beliau telah meminta waran tangkap ke atas Encik Netanyahu, Encik Gallant dan pemimpin Hamas bagi jenayah perang dan jenayah kemanusiaan berhubung serangan 7 Oktober dan peperangan di Gaza.
Dalam satu kenyataan, pendakwa raya ICC, Encik Karim Khan, berkata beliau juga telah memohon waran tangkap ke atas pemimpin Hamas – Yahya Sinwar, Muhammad Deif dan Ismail Haniyeh.
Hamas juga membidas permohonan pendakwa raya ICC untuk menangkap pemimpinnya dengan menyatakan ia “menyamakan mereka dengan kekejaman atau orang yang melaksanakan hukuman mati”.
Perang meletus apabila Hamas menyerang selatan Israel, membunuh 1,200 orang dan menahan 240 yang lain sebagai tebusan.
Serangan balas Israel telah mengorbankan lebih 35,000 rakyat Palestin dan puluhan ribu lagi cedera. – Reuters, AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg