Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

New South Wales wajibkan pakai pelitup, kenakan sekatan baru

Jan 3, 2021 | 5:30 AM
LANGKAH BERJAGA-JAGA DIPERKETAT: Wilayah New South Wales (NSW) di Australia, yang mencatatkan hampir 200 kes aktif Covid-19, akan mengenakan denda A$200 ($204) ke atas sesiapa yang tidak memakai pelitup di tempat awam mulai esok. - Foto AFP
LANGKAH BERJAGA-JAGA DIPERKETAT: Wilayah New South Wales (NSW) di Australia, yang mencatatkan hampir 200 kes aktif Covid-19, akan mengenakan denda A$200 ($204) ke atas sesiapa yang tidak memakai pelitup di tempat awam mulai esok. - Foto AFP -

SYDNEY: New South Wales (NSW), wilayah paling ramai penduduk di Australia, kelmarin mewajibkan pemakaian pelitup muka di samping mengenakan sekatan baru selepas mencatatkan tujuh kelompok koronavirus manakala jirannya Victoria mencatat 10 kes baru jangkitan Covid-19.

Pemimpin NSW Gladys Berejiklian mengumumkan larangan menari dan menyanyi di kelab-kelab malam di samping mengehadkan jumlah pengunjung di gim, majlis perkahwinan dan kematian serta premis keagamaan.

Begitupun perlawanan ujian kriket yang dijadualkan selama lima hari antara Australia dengan India bermula Khamis akan diteruskan dengan jumlah penonton dihadkan kepada 50 peratus kapasiti stadium.

"Kami mengutamakan kesihatan dan keselamatan tetapi kami juga perlu memikirkan mengenai kesejahteraan, serta pekerjaan dan ekonomi," kata Berejiklian kepada wartawan di Sydney.

"Itulah sebabnya dengan meletakkan langkah-langkah ini, kami yakin dapat terus mendorong kegiatan ekonomi, meningkatkan keyakinan kepada perniagaan dan pekerjaan, dan tentu sekali mencegah virus ini."

NSW, yang mencatatkan hampir 200 kes aktif Covid-19, akan mengenakan denda A$200 ($204) ke atas sesiapa yang tidak memakai pelitup di tempat awam mulai esok.

Victoria, yang kini mencatatkan 29 kes aktif Covid-19, awal minggu ini telah pun mewajibkan penggunaan pelitup selain mengehadkan perhimpunan dan menutup sempadannya dengan NSW yang menyaksikan orang ramai beratur lama di pusat pemeriksaan sempadan itu sempena sambutan Tahun Baru kelmarin.

Pihak berkuasa semalam mengatakan urutan genomik menunjukkan bahawa pandemik di Victoria secara langsung mempunyai kaitan dengan kelompok koronavirus di NSW, menguatkan lagi alasan bagi penutupan sempadannya.

"Menyusuli dapatan yang diperolehi ini, kami mengambil keputusan meletakkan langkah-langkah yang seimbang dan adil. Warga di Victoria berhadapan risiko yang besar," ujar pula Menteri Kesihatan Victoria Martin Foley.

Australia Selatan tidak mencatatkan sebarang kes koronavirus manakala Tasmania, yang sejauh ini bebas Covid-19, telah melarang ketibaan pengunjung dari Victoria. Penduduk di Queensland pula digesa menimbangkan semula rancangan perjalanan mereka ke NSW dan Victoria.

Australia sejauh ini telah melaporkan 28,450 kes Covid-19 di samping 909 kematian sejak pandemik itu bermula. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg