
NEW YORK: New York mencatatkan lebih 85,000 kes Covid-19 baru pada hari terakhir 2021, iaitu jumlah harian tertinggi di bandar itu sejak permulaan pandemik, kata pegawai pihak berkuasa kelmarin.
Bilangan keputusan positif daripada ujian-ujian Covid-19 yang dijalankan - iaitu sebanyak 85,476 kes atau sekitar 22 peratus bilangan ujian yang dilaporkan oleh bandar di Amerika Syarikat itu - melangkaui rekod yang dicatatkan sehari sebelum itu.
Menurut media tempatan, kenaikan mendadak kes Covid-19 di New York juga tidak menunjukkan tanda ia akan berkurang, dengan jangkitan baru yang berpunca daripada perjalanan serta kegiatan sosial bersama teman dan sanak saudara semasa musim cuti belum lagi dicerminkan dalam laporan rasmi.
"Sedang kami berusaha mengatasi kenaikan kes (jangkitan) semasa musim sejuk ini, kami juga perlu memikirkan tentang golongan yang paling terdedah... lakukan apa sahaja yang perlu demi melindungi satu sama lain dalam masyarakat anda daripada Covid-19," kata Gabenor Cik Kathy Hochul dalam satu kenyataan yang mengumumkan bilangan kes baru di New York itu.
"Pakailah pelitup, basuh tangan anda dan dapatkan manfaat daripada kaedah yang terbaik yang tersedia kepada anda - iaitu vaksin."
New York merupakan antara beberapa bandar yang terjejas teruk Covid-19 - termasuk Washington, DC, dan beberapa negeri kawasan timur lain - sekali gus menyumbang kepada kenaikan tinggi di serata Amerika.
Khamis lalu, rekod 585,013 kes Covid-19 baru dilaporkan secara keseluruhan di Amerika dengan bilangan pesakit yang dirawat di hospital juga semakin meningkat di serata negara.
Hanya 24 jam sebelum itu di New York, sebanyak 90,000 vaksin telah diberikan kepada penduduk, menurut Cik Hochul dalam kenyataannya.
Secara keseluruhan, terdapat 1,181 orang - dengan 88 dari New York - yang dilaporkan terkorban akibat Covid-19 di Amerika kelmarin.
Sekitar dua minggu lalu, rekod sejumlah 21,000 keputusan positif yang dilaporkan di New York adalah cukup untuk memberi amaran ketara.
Kenaikan kadar kes positif yang tinggi itu - yang turut disebabkan varian Omicron yang lebih mudah berjangkit - merupakan satu peringatan bahawa pandemik ini telah memasuki tahun ketiganya.
Biarpun demikian, kenaikan kes semasa itu jauh lebih kurang berbanding peningkatan yang dialami Amerika buat tempoh yang sama pada Januari tahun lalu, yang menandakan bahawa gelombang jangkitan baru itu akan memuncak dalam seminggu atau lebih.
Namun, menurut beberapa pakar, tempoh inkubasi Omicron adalah sependek 72 jam, yang boleh mempercepatkan gelombang jangkitan baru itu. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg