WELLINGTON: New Zealand akan membatalkan kawalan sempadannya yang ketat lebih awal susulan tindak balasnya yang terbaik di dunia sehingga menjadikan negara itu "tempat yang selamat untuk dikunjungi".

Bercakap kepada wartawan semalam, Perdana Menteri, Cik Jacinda Ardern, berkata negara itu bersedia mengalu-alukan dunia kembali.

"Saya berbangga New Zealand adalah sebuah negara yang mampu menyediakan tempat selamat buat pelancong kami pada masa ini.

"Warga Australia yang diberi vaksin boleh melawat tanpa menjalani kuarantin atau pengasingan diri mulai April, bukannya pada Julai seperti dirancang sebelumnya," umumnya.

Pelancong dari negara yang mempunyai perjanjian bebas visa dengan New Zealand - termasuk pasaran utama di Hemisfera Utara, Jepun, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan - akan dibenarkan melakukan perkara sama mulai 1 Mei.

Cik Ardern menyifatkan perubahan itu sebagai rangsangan besar bagi industri pelancongan New Zealand yang sedang bergelut.

"Kami bersedia melangkah dengan selamat ke lembaran baru pengurusan pandemik kami, perubahan ini membawa peluang ekonomi yang besar," ujarnya.

New Zealand mengalu-alukan 3.9 juta ketibaan antarabangsa pada 2019, namun sempadan ditutup pada Mac 2020 ketika Covid-19 melanda dunia.

Pelancongan adalah penyumbang eksport terbesar New Zealand sebelum wabak itu, menjana lebih NZ$16 bilion ($14.78 bilion) setiap tahun, dengan 40 peratus pelancong datang dari Australia.

Disebabkan pandemik, semua ketibaan antarabangsa terpaksa menjalani kuarantin selama dua minggu di kemudahan hotel kendalian kerajaan yang dikawal tentera.

Kawalan itu membantu menjauhkan virus daripada masyarakat buat tempoh lama, namun New Zealand kini mengalami gelombang jangkitan varian Omicron, dengan lebih 21,000 kes baru direkodkan kelmarin.

Namun, kadar penerimaan vaksin penduduknya tinggi, dengan lebih 95 peratus menerima suntikan dua dos dan merekodkan hanya 117 kematian berkaitan koronavirus berbanding penduduk seramai lima juta.

Cik Ardern berkata New Zealand mempunyai kadar kematian terendah di dunia maju dan tindak balas wabaknya akan menjadikannya menarik kepada pelancong dalam pasaran antarabangsa yang bersaing.

"Kami adalah tempat selamat untuk dikunjungi dan New Zealand bersedia dengan tangan terbuka.

"Kami akan menjadi pasaran yang dicari, kami kini dikenali di seluruh dunia sebagai bukan sahaja bersih dan hijau, tetapi juga selamat," katanya.

Namun, pengumuman dibuat tidak meliputi ketibaan dari negara seperti China dan India, di mana visa diperlukan untuk melawat New Zealand, yang kini mesti mengasingkan diri selama 10 hari selepas ketibaan.

Keperluan itu tidak akan digugurkan sehingga Oktober, namun Cik Ardern menyatakan tarikh itu mungkin diubah kepada tarikh lebih awal. - AFP.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti