Topik diikuti
Pergi ke BHkuNew Zealand isytihar darurat akibat Taufan Gabrielle
New Zealand isytihar darurat akibat Taufan Gabrielle
WELLINGTON: Pemerintah New Zealand mengisytiharkan darurat negara buat kali ketiga dalam sejarahnya pada Selasa akibat Taufan Gabrielle.
Ribut itu telah menyebabkan banjir berleluasa, tanah runtuh dan ombak laut yang besar di seluruh Pulau Utara.
Ia juga telah memaksa pemindahan dan penduduk yang terkandas di atas bumbung.
"Ia merupakan malam yang amat menjejas warga New Zealand di seluruh negara, tetapi khususnya di bahagian atas Pulau Utara... banyak keluarga yang kehilangan tempat tinggal, banyak rumah tanpa bekalan elektrik, kerosakan besar berlaku di seluruh negara," kata Perdana Menteri, Encik Chris Hipkins memberitahu pemberita selepas pengisytiharan tersebut.
Keadaan darurat negara telah diisytiharkan hanya dua kali sebelum ini - berikutan gempa bumi berukuran 6.3 pada skala Richter di Christchurch pada 2011 dan pada awal pandemik Covid-19.
Gabrielle berada 100 kilometer timur Auckland, berhampiran pantai timur Pulau Utara negara itu.
Ia dijangka bergerak ke timur-tenggara-timur, kira-kira selari dengan pantai.
Pokok tumbang memutuskan talian elektrik dan banjir menghalang beberapa jalan, menyebabkan penduduk di seluruh utara negara itu terkandas.
Media setempat melaporkan ada yang terpaksa berenang dari rumah mereka ke tempat selamat.
Yang lain mengharungi ribut dengan berjalan kaki.
"Pada kira-kira tengah malam kami mendapat teks kecemasan yang mengatakan 'Pindah!" singkap Cik Jane Scott, seorang penduduk masyarakat pantai Muriwai, yang mengumpulkan obor dan beberapa barang keperluan sebelum ke pusat masyarakat setempat.
"Ia gelap gelita dan hujan lebat," katanya kepada saluran setempat, TVNZ. "Ia sangat menakutkan."
Menteri Pengurusan Kecemasan, Encik Kieran McAnulty berkata, ketika New Zealand sedang mengalami ribut terburuk, lebih banyak hujan dan angin kencang dijangka berlaku.
Negara mengalami banjir besar, tanah runtuh dan kerosakan jalan dan prasarana, tambahnya.
Pihak kaji cuaca berkata cuaca buruk akan ke Pulau Selatan apabila taufan itu bergerak.
Pihak berkuasa telah memindahkan mereka yang tinggal berdekatan pantai dan masih meminta orang ramai meninggalkan rumah memandangkan air sungai mula melimpah-ruah seiring air pasang.
Jalan raya ditutup, perkhidmatan telefon bimbit terputus dan beberapa bandar terputus hubungan.
Encik Hipkins berkata masih terlalu awal untuk menyatakan berapa ramai mereka yang kehilangan tempat tinggal atau cedera.
Tiada kematian dicatat sejauh ini.
Media setempat menyiarkan gambar mereka yang duduk di atas bangunan dengan dikelilingi air banjir dan rumah dihanyutkan ke dasar bukit berikutan tanah runtuh.
Pihak bomba dan kecemasan New Zealand mengesahkan seorang anggota bomba sukarela kekal di dalam sebuah rumah selepas tergelincir semasa menuruni bukit di bandar tepi pantai berhampiran Auckland.
Seorang lagi anggota bomba berjaya diselamatkan dan berada dalam keadaan kritikal di hospital.
Sebuah kapal tentera laut New Zealand sedang menuju ke sebuah kapal layar yang menghidupkan suar kecemasannya pada pagi Selasa di luar pantai negara kami," kata Cik Rachel Kelleher, timbalan pengawal Pengurusan Kecemasan Auckland, pada Selasa.
"Dapatkan maklumat terkini dan jaga satu sama lain," tambahnya. - Reuters.
"Ia merupakan malam yang amat menjejas warga New Zealand di seluruh negara, tetapi khususnya di bahagian atas Pulau Utara... banyak keluarga yang kehilangan tempat tinggal, banyak rumah tanpa bekalan elektrik, kerosakan besar berlaku di seluruh negara."
- Perdana Menteri New Zealand, Encik Chris Hipkins.