WASHINGTON: Dua pertubuhan Islam Amerika Syarikat berjaya mengutip dana hampir AS$80,000 (S$110,492) untuk membantu mangsa yang terselamat dalam kejadian serangan rumah ibadat Yahudi di Pittsburgh dan keluarga 11 mangsa yang terbunuh.
Kempen ‘LaunchGood’ yang dilancarkan pertubuhan itu berjaya mengutip AS$25,000 (S$ 34,528) selepas enam jam dilancarkan, sasaran kedua berjaya mengutip AS$50,000 (S$69,057) selepas sehari.
Kini kumpulan itu mensasarkan untuk mengutip sebanyak AS$100,000 (S$138,115).
Kutipan itu dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Amerika, CelebrateMercy dan MPower Change.
“Kami mahu membalas kejahatan dengan kebaikan, kerana ia ajaran agama kami dan menyampaikan mesej jelas dengan tindakan,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Bantuan itu bakal disalurkan untuk membantu keperluan segera mangsa yang cedera dan keluarga yang sedang berkabung, termasuk membiayai kos pengebumian serta bil perubatan.
“Menerusi kempen ini, kami berharap untuk menghantar mesej perpaduan dari komuniti Yahudi dan Islam bahawa tidak ada ruang untuk menyebarkan kebencian dan keganasan di Amerika.
“Kami berdoa agar usaha ini dapat mengembalikan rasa aman dan damai kepada masyarakat Yahudi-Amerika yang sudah pasti sedikit goyah disebabkan kejadian ini,” kata kumpulan itu. - AFP