YANGON: Festival Thingyan Tahun Baru Myanmar adalah cuti umum terbesar di Myanmar - biasanya perayaan disambut selama seminggu di seluruh negara dengan sambutan perayaan berpesta hingga larut malam.
Namun, pada tahun ini, ia menyamai sambutan Easter yang dibatalkan di tempat lain di dunia dengan hab komersil negara itu, Yangon, dalam perintah berkurung dan penduduk terkurung di dalam rumah kerana Covid-19.
Basikal dan beca penghantaran makanan menyusuri jalan-jalan di kota yang biasanya sesak dengan lalu lintas selepas pemerintah mengarahkan orang ramai supaya tinggal di rumah kecuali untuk keperluan makanan dan penjagaan kesihatan yang penting.
Sehingga kelmarin, Myanmar secara rasminya hanya mempunyai 38 kes Covid-19 yang disahkan - termasuk tiga kematian - tetapi ramai yang takut bilangan ujian yang rendah bermakna angka sebenar mungkin berkali-kali lebih tinggi.
Gambar dari cuti tahun lalu jelas menunjukkan Yangon kini bandar yang berbeza, dengan tiada lagi kelihatan hos menyemburkan air terhadap orang ramai yang bersorak dan menari sambil alunan muzik tekno yang memekakkan telinga dipancarkan dari pembesar suara raksasa. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg