Topik diikuti
Pergi ke BHkuNurul Izzah terima tugas baru dan bukan lagi Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan PM
Nurul Izzah terima tugas baru dan bukan lagi Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan PM
GEORGETOWN - Anak sulung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah Anwar tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada bapanya.
Keputusan itu dibuat selepas bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga Naib Presiden PKR itu diundang menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat kepada Menteri Kewangan, Tan Sri Mohd Hassan Marican.
Dalam kenyataan medianya, Nurul Izzah berkata beliau diundang untuk menyertai pasukan Jawatankuasa Penasihat kepada Menteri Kewangan untuk perkukuhkan ekonomi negara dan rakyat, lapor Utusan Online.
"Beliau (Mohd. Hassan) telah mengundang saya menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat bagi membantu usaha mereka dalam memperkukuh ekonomi negara dan rakyat.
"Saya dengan rendah diri menerima tanggungjawab ini. Menerusi peranan baru ini, saya tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya amat menghargai setiap peluang untuk menyumbang kepada negara demi melakar masa depan yang lebih baik untuk Malaysia," jelasnya dalam kenyataan itu.
Tambah Nurul Izzah, beliau berharap khidmat membantu Mohd. Hassan serta anggota jawatankuasa lain mampu memberi manfaat kepada negara.
"Saya mengambil kesempatan ini bagi menzahirkan sepenuh penghargaan atas setiap sokongan dan dukungan yang diberikan, baik daripada orang ramai mahupun seluruh pasukan perkhidmatan awam dan komuniti kerajaan.
"Rakyat Malaysia secara keseluruhannya mengharapkan masa depan yang cemerlang dan penyatuan yang utuh dipimpin oleh Perdana Menteri bersama Kerajaan Perpaduan.
"Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh Jawatankuasa. Sama-samalah kita menyumbang dalam sebarang kapasiti demi negara kita," katanya.