Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nusantara terima pelaburan asing 1.15 trilion rupiah

Sep 26, 2024 | 11:43 AM
Presiden Joko Widodo (tengah) di upacara pecah tanah kawasan pelbagai guna, Delonix Nusantara, dengan pelbagai kemudahan dibangunkan dengan pelaburan syarikat China bernilai 500 bilion rupiah ($42.3 juta).
Presiden Joko Widodo (tengah) di upacara pecah tanah kawasan pelbagai guna, Delonix Nusantara, dengan pelbagai kemudahan dibangunkan dengan pelaburan syarikat China bernilai 500 bilion rupiah ($42.3 juta). - Foto INSTAGRAM JOKOWI

NUSANTARA: Projek pembangunan fasa kelapan di Ibu Kota Nusantara (IKN), kini menarik perhatian pelabur asing dengan jumlah pelaburan asing bernilai 1.15 trilion rupiah ($103.2 juta).

Menurut Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo, pelaburan itu adalah dari beberapa negara termasuk Australia, Russia dan China, yang terlibat dalam sektor pendidikan dan hartanah.

“Pelaburan asing telah mula memasuki Nusantara, dengan Australia melabur dalam sektor pendidikan, manakala Russia dan China melabur dalam sektor hartanah,” kata Encik Jokowi ketika majlis perasmian beberapa projek pembangunan di Nusantara, Kalimantan Timur, pada 25 September.

Australia telah melabur 150 bilion rupiah untuk membangunkan prasarana pendidikan di Nusantara, manakala Russia dan China masing-masing menyuntik 500 bilion rupiah untuk projek hartanah di kawasan tersebut, lapor agensi berita Antara.

Encik Jokowi turut memaklumkan bahawa beberapa pelabur asing telah menandatangani Surat Hasrat (LOI) untuk menyokong pembangunan ibu kota masa depan Indonesia itu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa tidak semua LOI boleh diluluskan serta-merta kerana setiap pelan pelaburan perlu melalui proses penilaian dan disesuaikan dengan keperluan pembangunan Nusantara.

“(Pelan pelaburan harus) disesuaikan dengan keperluan di Nusantara untuk menjadikannya sebuah ekosistem yang baik serta lokasi yang menarik,” jelas Encik Jokowi.

Pada hari yang sama, Presiden Jokowi turut menyaksikan upacara pecah tanah dan merasmikan lima projek bernilai keseluruhan 1.5 trilion rupiah, dua daripadanya dibiayai oleh pelabur asing.

Satu daripada projek hartanah tersebut ialah kompleks pelbagai guna seluas 24,200 meter persegi yang dibangunkan oleh syarikat China, Delonix Group, dengan pelaburan sebanyak 500 bilion rupiah.

Selain itu, Russia turut menyumbang kepada pembangunan Nusantara melalui Magnum Resort Nusantara, sebuah kompleks kediaman yang dibangunkan oleh pemaju Russia, Magnum Estate International, dengan pelaburan 500 bilion rupiah.

Menurut Encik Jokowi, pelaburan dari pelbagai negara itu menunjukkan keyakinan terhadap potensi Nusantara sebagai hab pelaburan strategik.

“Pelaburan dari entiti asing ini mencerminkan keyakinan bahawa Nusantara adalah lokasi pelaburan yang sangat menarik,” kata beliau.

Pada 24 September Kementerian Pelaburan Indonesia mengumumkan bahawa negara tersebut telah memperoleh pelaburan bernilai AS$165 juta ($226.4 juta) daripada lima pelabur asing untuk pembangunan ibu kota baru itu.

Salah satu pelabur yang terlibat ialah syarikat tenaga yang berpangkalan di Singapura, Sembcorp, dengan pelaburan AS$65 juta bagi membina loji solar 50 megawatt di Nusantara.

“Sembcorp telah memulakan pembinaan loji solar tersebut sejak bulan lalu (Ogos),” kata Menteri Pelaburan, Encik Rosan Perkasa Roeslani, di Jakarta.

Pemerintah Indonesia menggalakkan lebih banyak pembangunan berasaskan tenaga bersih di Nusantara bagi menarik pelaburan hijau.

“Kami berharap dapat melihat lebih banyak pelaburan dalam sektor yang menyumbang kepada keberkecualian karbon,” kata Encik Roeslani.

Projek pembangunan Nusantara meliputi kawasan seluas 256,142 hektar di Kalimantan Timur dan pembinaannya bermula pada 2022.

Untuk membiayai projek mega itu, Indonesia mencari pelbagai sumber kewangan termasuk dana pemerintah, pelaburan antarabangsa dan juga pembiayaan daripada orang awam melalui kaedah pendanaan awam.

Pihak berkuasa Nusantara melaporkan bahawa sebanyak 472 surat hasrat telah diterima daripada syarikat di seluruh dunia, namun hanya 220 daripadanya dianggap layak selepas penilaian.

Sebagai tambahan, pemerintah Indonesia terus menawarkan pelbagai insentif kepada pelabur, termasuk hak penggunaan tanah selama 80 tahun dan pengecualian cukai import bagi menarik lebih banyak pelaburan ke Nusantara. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg