Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Onn Hafiz dilantik Menteri Besar Johor ke-19

Mar 16, 2022 | 5:30 AM
MENTERI BESAR: Datuk Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19 di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, semalam. (Gambar atas) Datuk Onn Hafiz memenangi kerusi DUN Machap semasa PRN Johor yang baru berlalu. - Foto-foto FACEBOOK SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR, NSTP
MENTERI BESAR: Datuk Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19 di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, semalam. (Gambar atas) Datuk Onn Hafiz memenangi kerusi DUN Machap semasa PRN Johor yang baru berlalu. - Foto-foto FACEBOOK SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR, NSTP -

JOHOR BAHRU: Cicit kepada Pengasas dan Presiden Umno yang pertama, Datuk Onn Jaafar, iaitu Datuk Onn Hafiz Ghazi, sah dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-19.

Pelantikan beliau, dilihat sebagai satu kejutan kerana Barisan Nasional (BN) sepanjang berkempen menyatakan bekas menteri besar Datuk Seri Hasni Mohammad, akan dilantik semula sebagai menteri besar sekiranya BN menang dalam pilihan raya negeri Johor itu.

Datuk Onn Hafiz, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar kira-kira 3 petang semalam.

Datu Onn Hafiz adalah Naib Ketua Bahagian Umno Simpang Renggam, yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada pilihan raya negeri (PRN) Johor pada Sabtu lalu, dengan majoriti 6,543 undi.

Beliau menggantikan Datuk Hasni yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020 sehingga DUN dibubarkan pada Januari lalu.

Berumur 43 tahun, lulusan jurusan perakaunan dari University of Hertfordshire itu juga adalah anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Sebelum ini, timbul tanda tanya selepas Datuk Hasni membuat satu kenyataan mengejutkan kelmarin.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin Johor.

Beliau, juga Pengerusi Umno Johor, berkata ia berikutan orang muda mampu memberi idea dan sumbangan bermakna dalam pembangunan Johor.

"Melihat kepada sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan Johor dan demi kemakmuran negeri yang berpanjangan, saya mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin negeri," katanya dalam kenyataan itu.

Kenyataan Datuk Hasni yang memenangi kerusi DUN Benut itu menimbulkan beberapa spekulasi, seolah-olah mengesahkan khabar angin yang menyatakan ada nama lain bakal dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19.

Ia susulan khabar angin yang menyebut timbul nama lain bagi jawatan Menteri Besar.

Nama lain yang disebut-sebut dilantik sebagai Menteri Besar adalah Datuk Onn Hafiz, bekas Exco Belia dan Sukan Johor yang juga pemenang kerusi DUN Machap; dan Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi, yang juga pemenang DUN Rengit.

Terdahulu media melaporkan bahawa Sultan Johor menitahkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menghadap baginda.

Ini susulan kemenangan BN dalam PRN Johor pada Sabtu lalu bagi membolehkan Menteri Besar Johor yang ke-19 dilantik sekali gus mengangkat sumpah.

Sebelum ini, Datuk Hasni dilaporkan akan dicadangkan sebagai calon tunggal Menteri Besar untuk mendapat perkenan Sultan Johor.

Datuk Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno dilaporkan berkata hanya nama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor itu akan dikemukakan kepada Sultan Johor untuk pertimbangan selanjutnya.

Selepas meraih kemenangan besar pada PRN Johor yang baru berlangsung, seramai 39 bakal Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) (BN) juga dilaporkan menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Datuk Hasni sebagai Menteri Besar Johor ke-19. - BHM.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg