HONG KONG: Hong Kong menjangkakan hari yang lebih tenang hari ini menyusuli kejadian ganas di mana kumpulan tunjuk perasaan membakar stesen kereta api dan merosakkan bangunan, termasuk pejabat agensi berita rasmi China, Xinhua.
Lebih 200 orang diberkas dalam salah satu kejadian ganas paling teruk sejak beberapa minggu lalu. Tunjuk perasaan yang bermula sekitar lima bulan lalu pula kelihatan tidak akan berakhir dalam masa terdekat.
Kumpulan tunjuk perasaan marah dengan apa yang dianggap sebagai campur tangan China dalam kebebasan Hong Kong sejak bandar tersebut berpindah tangan dari jajahan Britain ke China. Dakwaan tersebut dinafikan China.
Pertempuran antara polis rusuhan dan kumpulan tunjuk perasaan berterusan hingga pagi tadi selepas pihak polis melepaskan gas pemedih mata di kawasan taman untuk memaksa beribu orang yang berkumpul di situ untuk bersurai.
Tiada tunjuk perasaan dijadualkan hari ini, dan pejabat Xinhua menggunakan masa tersebut untuk membersihkan bangunan mereka, salah satu sasaran kumpulan tunjuk perasaan yang telah melontar bom petrol dan batu bata.