Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Paetongtarn Shinawatra jadi perhatian sambung legasi keluarga

May 09, 2022 | 05:30 AM



BANGKOK: Ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi.



Begitulah perumpamaan dalam perjalanan hidup Cik Paetongtarn Shinawatra, 35 tahun, anak bongsu mantan Perdana Menteri Thailand, Encik Thaksin Shinawatra, yang kini menjadi tumpuan dalam politik Thailand.



Seorang muka baru dalam politik, Cik Paetongtarn, yang mengetuai jawatankuasa penasihat penyertaan dan inovasi parti pembangkang utama Thailand, enggan memberikan sebarang komen mengenai peluangnya bertanding sebagai calon perdana menteri selepas Parti Pheu Thai mengisytiharkan ia akan mendedahkan calonnya selepas Parlimen dibubarkan.



Berucap dalam perhimpunan agung Parti Pheu Thai Ahad lalu, Cik Paetongtarn, berkata parti itu telah bekerja keras meletakkan asas bagi menyelesaikan masalah negara dan menyediakannya untuk masa depan, lapor akhbar Bangkok Post.



Diberi julukan "Ketua Keluarga Pheu Thai", beliau menggariskan rancangan lima-mata pada perhimpunan parti untuk Thailand sejajar dengan matlamat Pheu Thai mencapai "kemenangan besar" dalam pilihan raya umum akan datang.



Pelan itu termasuk menggalakkan penyertaan akar umbi dalam penggubalan dasar, menggunakan kecerdasan buatan untuk meningkatkan sektor pertanian dan mendakap pendigitalan dan teknologi seperti platform dalam talian dan mata mata wang kripto.



Menurut The Straits Times, Pheu Thai dan parti politik utama lain di Thailand telah mula bersiap menghadapi pilihan raya ketika kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri, Encik Prayut Chan-o-cha, bergelut dengan keretakan dalam gabungan itu.



Penganalisis politik menjangka pilihan raya diadakan tidak lama lagi selepas Thailand menjadi tuan rumah sidang puncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) November ini.



"Pada hari kerajaan membubarkan Parlimen, kami akan bersedia. Saya yakin kami boleh mengubah Thailand daripada negara yang dibebani hutang dan tempat penuh sengsara tanpa masa depan kepada sebuah negara yang penuh dengan peluang dan harapan," kata Cik Paetongtarn kepada penyokong parti itu sambil menambah bahawa beliau akan mula bekerja sebagai anggota sepenuh masa dan ketua penasihat Pheu Thai.



Menurut Bangkok Post, Cik Paetongtarn, bagaimanapun, enggan menyatakan sama ada beliau akan muncul sebagai calon perdana menteri Pheu Thai.



Beliau berkata, ini bukan masanya mengisytiharkan dirinya bersedia untuk pencalonan sedangkan parti itu belum membuat sebarang keputusan.



Menjawab soalan The Straits Times mengenai prospek parti itu mencapai matlamat mendapatkan sekurang-kurangnya 250 daripada 400 kerusi Parlimen yang dipertaruhkan dalam pilihan raya, Cik Paetongtarn berkata beliau yakin mendapat kepercayaan pengundi.



"Tidak perlu (bagi parti) membuktikan apa-apa lagi kerana apa yang dijanjikan kepada rakyat (telah dilakukan) setiap masa. Jadi saya tidak nampak sebarang cabaran," katanya.



Pheu Thai adalah lelaran ketiga Parti Thai Rak Thai pimpinan Encik Thaksin, yang dibubarkan pada 2007 kerana melanggar undang-undang pilihan raya.



Ia bergabung semula sebagai Parti Kuasa Rakyat sebelum menjadi Pheu Thai.



Encik Thaksin, 72 tahun, digulingkan dalam satu rampasan kuasa pada 2006 dan sejak itu tinggal dalam buangan di Dubai, Amiriah Arab Bersatu, untuk mengelak tuduhan rasuah.



Beliau dikatakan masih mempunyai pengaruh besar ke atas Pheu Thai, yang memenangi pilihan raya pada 2011.



Kemenangan itu melonjakkan mak cik Cik Paetongtarn, Cik Yingluck Shinawatra, adik bongsu Encik Thaksin, daripada seorang yang masih mentah dalam politik kepada perdana menteri dalam beberapa minggu.



Namun, Mahkamah Perlembagaan Thailand melucutkan jawatan Cik Yingluck pada 2014 dan beliau juga kini tinggal dalam buangan, dilaporkan di London.



Kini tumpuan beralih pada Cik Paetongtarn. Beliau tampil buat julung-julung kali dalam satu mesyuarat Pheu Thai pada Oktober tahun lalu dan menikmati pelantikan berturut-turut dalam parti, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa beliau berpotensi dikemukakan sebagai calon perdana menteri.



Cik Paetongtarn pernah berkata beliau "belum bersedia" dicalonkan dan lebih suka memberi tumpuan pada peranan sebagai penasihat.



Apabila ditanya sekali lagi Ahad lalu mengenai isu yang sama, jawapannya lebih kurang sama, ditambah alasan "parti belum membuat apa-apa keputusan lagi".



Ditanya sama ada usaha Pheu Thai akan dibayangi pengaruh bapanya, Cik Paetongtarn, yang mengetuai cabang perhotelan firma hartanah Rende Development milik keluarganya, berkata:



"(Segala) yang saya lakukan dalam hidup, daripada yang dibuat secara suka-suka kepada perkara penting, beliau sentiasa terkait... Jadi komen seperti ini tidak menjejas saya, saya tahu apa yang saya lakukan," katanya. - Agensi berita




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >