KUANTAN: Keselamatan cerun dan kawasan tanah tinggi di sepanjang sempadan Pahang-Selangor akan menjadi antara tumpuan kerjasama antara kedua-dua negeri, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Kedua-dua negeri bersetuju untuk membawa perkara itu kepada perhatian Kerajaan Persekutuan, termasuk menubuhkan Majlis Cerun Negara, katanya pada sidang media bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, selepas menghadiri mesyuarat antara kedua-dua kerajaan negeri di Wisma Sri Pahang kelmarin.
Datuk Seri Amirudin berkata adalah penting untuk menyelaraskan usaha pembangunan di kawasan tanah tinggi di kededua negeri itu bagi menjamin keselamatan.
"Perlu ada usaha yang diselaraskan di kawasan tanah tinggi seperti Genting Highlands, bukan sahaja dari segi pembangunan, tetapi juga melibatkan peraturan, undang-undang dan pemantauan.
"Ini kerana kedua-dua negeri sedang mengalami dan berdepan potensi risiko yang sama, dan pada masa sama, mempunyai potensi (pelancongan) yang baik," katanya.
Datuk Seri Wan Rosdy berkata isu lain yang dibincangkan pada mesyuarat itu ialah aktiviti mendaki di kawasan hutan simpan bersempadan dengan Pahang dan Selangor, aktiviti penguatkuasaan bersama ke atas lori yang membawa muatan berat serta persempadanan semula antara kedua-dua negeri.
Beliau berkata isu berkaitan bekalan air mentah dari Pahang ke Selangor, yang dijangka bermula tahun depan, turut dibangkitkan pada mesyuarat itu. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg