KUANTAN: Imam dari luar Pahang, termasuk dari pondok atau maahad tahfiz, tidak dibenarkan memimpin solat tarawih di masjid atau surau di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata prosedur operasi standard (SOP) pengimarahan masjid dan surau di negeri itu sepanjang Ramadan juga tidak membenarkan penceramah jemputan dari luar Pahang.
SOP itu turut tidak membenarkan tazkirah selepas tarawih dianjurkan.
"Solat tarawih perlu selesai selewat-lewatnya pada 10 malam. Tazkirah yang dibenarkan ialah selepas solat Zohor dan sebelum solat Jumaat dengan tempoh maksimum 15 minit.
"Aktiviti tadarus dan khatam al-Quran dibenarkan selepas solat Subuh hingga sebelum Maghrib, manakala qiamullail dibenarkan pada 10 malam terakhir mulai 3 pagi hingga solat Subuh," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa (6 April), menurut Berita Harian Malaysia.
Datuk Wan Rosdy berkata, sepanjang Ramadan, pelajar dari sekolah berasrama dan kanak-kanak bawah tujuh tahun tidak dibenarkan untuk solat tarawih di masjid atau surau, tetatpi asrama sekolah dibenarkan untuk menganjurkan solat itu.
"Pihak pengurusan masjid dan surau bertanggungjawab memastikan SOP sentiasa dipatuhi.
"Ia (SOP) adalah dari segi pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu dan pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera, PahangGo atau buku kehadiran serta membawa sejadah bersaiz besar," katanya.
Beliau menambah, sekiranya berlaku pelanggaran SOP dan penularan wabak Covid-19, kebenaran untuk menjalankan aktiviti pada Ramadan akan dibatalkan sehingga dibenarkan pihak berkuasa.
"Pihak pengurusan masjid dan surau perlu mematuhi pekeliling dan arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP)," katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg