Subuh
5:29
Syuruk
6:52
Zuhur
12:55
Asar
4:18
Maghrib
6:55
Isyak
8:09
Halal Food Map
Turn on your location  and discover halal restaurants near you.
Dunia0

BERITA

Pakar: Elak pilihan raya kecil di Sabah keputusan tepat jauhi penularan Covid-19

Nov 21, 2020 | 05:30 AM

KUALA LUMPUR: Beberapa pakar percaya bahawa keadaan darurat yang diisytiharkan di Batu Sapi, Sabah, untuk mengelakkan pilihan raya kecil diadakan di situ, mungkin menjadi 'pemutus litar' yang perlu dilakukan Malaysia untuk mencegah penularan jangkitan Covid-19.

Langkah itu, kata mereka, juga dapat membendung kebangkitan koronavirus di tempat lain dan merupakan langkah tepat ke arah melindungi kawasan bebas Covid-19 (zon hijau), lapor New Straits Times (NST).

Rabu lalu Yang di-Pertuan Agong bersetuju mengisytiharkan darurat ke atas Batu Sapi, Sabah, bagi mengelak pilihan raya kecil sebagai langkah proaktif membendung gejala wabak Covid-19.

Pakar epidemiologi, Dr Malina Osman, berkata dengan mengambil pelajaran daripada pilihan raya Sabah lalu, yang menyebabkan kes Covid-19 melonjak dan menular hingga ke Semenanjung, pihak berkuasa mengambil tindakan betul dengan menangguhkan sebarang pilihan raya.

"Dalam keadaan sekarang, kita harus menghindari pilihan raya.

"Penangguhan pengundian akan mencegah kemungkinan penularan lebih lanjut Covid-19 dan peningkatan jumlah kes secara tiba-tiba," jelasnya.

Dr Malina berkata perkara ini penting kerana kes di negara itu belum memuncak dan masih meningkat, walaupun catatan menunjukkan bahawa jangkitan mungkin melintasi tahap 14,000 kes dari sekarang hingga pertengahan Disember.

Profesor madya di Universiti Putra Malaysia itu mengatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan mengambil keputusan tepat berkaitan pilihan raya kecil Batu Sapi dan berharap perkara sama akan dilakukan bagi pilihan raya kecil Gerik.

Beliau memberi contoh kesan buruk daripada pilihan raya negeri Sabah, yang walaupun telah berulang kali dikeluarkan nasihat mengenai perlunya mematuhi protokol keselamatan, tetap berlaku kempen besar-besaran dan perjalanan masuk-keluar skala besar di negeri itu, yang akhirnya menyebabkan peningkatan jumlah kes Covid-19 di seluruh Malaysia.

"Meneruskannya (pilihan raya Batu Sapi) sekarang bermakna mempertaruhkan lebih banyak nyawa dan merosakkan lebih teruk ekonomi.

"Walau pada kadar sekarang, tidak mungkin Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan ditarik balik pada 6 Disember.

"Bayangkan jika kita adakan pilihan raya sekarang, ia akan menjadi acara penyebar virus besar-besaran," tambahnya.

Pakar kesihatan awam di Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Safiya Amaran, pula berkata menangguhkan pilihan raya kecil Batu Sapi amat penting sekarang kerana kes Covid-19 di Sabah sudah menunjukkan penurunan.

"Jika kita teruskan pilihan raya itu, ia akan menyebabkan lebih banyak kelompok di Sabah dan akan memperburuk keadaan," jelasnya, lapor NST.

Beliau menyatakan jumlah kes di Semenanjung kini telah melebihi Sabah sejak 9 November, dan secara konsisten lebih tinggi hingga Rabu lalu.

"Pusat penularan sekarang adalah Lembah Klang, dengan lebih banyak kes di kalangan pekerja migran. Tiada kemungkinan PKPB akan ditarik balik di situ dalam masa terdekat," ujarnya.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan juga tampak mengunjurkan lebih banyak kes di Lembah Klang berdasarkan kenyataan dan infografik mengenai tahap kesediaan hospital untuk menangani wabak tersebut.

Dr Safiya juga meramalkan ada kemungkinan Pulau Pinang akan menjadi zon panas berikutnya kerana penduduk migrannya yang besar dan kelompok penjara yang kini berlaku.


"Meneruskannya (pilihan raya Batu Sapi) sekarang bermakna mempertaruhkan lebih banyak nyawa dan merosakkan lebih teruk ekonomi.
Walau pada kadar sekarang, tidak mungkin Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan ditarik balik pada 6 Disember. Bayangkan jika kita adakan pilihan raya sekarang, ia akan menjadi acara penyebar virus besar-besaran.''

- Dr Malina Osman, Pakar epidemiologi

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian