PETALING JAYA: Tidak memakai pelitup muka dengan betul dan mengambil sikap sambil lewa terhadap penjarakan selamat menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 di negara, kata pakar kesihatan.
"Ini sering dilihat pada kakitangan perkhidmatan, penjual makanan, pelayan di restoran, pekerja pembinaan dan juga di pejabat-pejabat di dalam sektor swasta dan juga kerajaan," kata presiden Persatuan Perubatan Malaysia Datuk Dr Subramaniam Muniandy.
Kata beliau lagi, kehadiran pegawai penguatkuasa harus dipertingkatkan dan pihak berkuasa mesti membuat pertimbangan untuk menggajikan pegawai penguatkuasa yang berpakaian biasa untuk memantau kedai-kedai dan pejabat-pejabat.
Profesor Dr Moy Foong Ming dari Jabatan Perubatan Sosial dan Pencegahan di Fakulti Perubatan Universiti Malaya pula berkata lebih banyak saman telah dikeluarkan kerana tidak memakai pelitup muka pada tiga minggu pertama bulan Januari berbanding dengan tiga minggu pertama pada bulan Disember.
"Kita benar-benar perlu memahami mengapa ramai orang masih tidak memakai pelitup muka sedang kes-kes Covid-19 begitu tinggi. Adakah kerana letih dengan prosedur operasi standard (SOP), mereka percaya tidak akan dijangkiti atau mereka tidak mampu mendapatkan pelitup muka?" katanya.
Pembelian pelitup muka sekali-pakai boleh menjadi beban kewangan kepada pekerja bergaji rendah walaupun harga telah menurun, ujarnya, dan menggalak golongan ini untuk memakai pelitup yang boleh dipakai semula.
"Orang ramai tidak digalakkan untuk memakai semula pelitup muka sekali-pakai kerana ia mungkin tercemar setelah digunakan seharian. Memakai semula pelitup muka juga meletakkan seorang itu pada risiko dijangkiti Covid-19," jelasnya.
"Memakai pelitup muka akan mencegah orang ramai - terutama mereka yang asimptomatik - dari menyebarkan virus kepada orang lain dengan tidak sengaja."
"Contohnya, risiko penularan Covid-19 antara dua orang adalah rendah jika kedua-dua memakai pelitup muka, sederhana jika hanya seorang yang memakainya dan tinggi jika kedua-dua orang itu tidak memakai sebarang pelitup muka."
Apabila memakai pelitup muka, bahagian hidung, muka dan dagu mesti ditutup, katanya, dan tidak boleh longgar terutama di bahagian tepi.
"Pelitup muka harus muat dengan betul tanpa menjejaskan pernafasan. Apabila membuka pelitup muka yang telah digunakan, buka dari bahagian gelung telinga.
" Selepas membuangnya dengan betul, seorang itu mesti membasuh tangan dengan sabun dan air."
"Pelitup muka yang sama tidak seharusnya dipakai lebih dari lapan jam dan harus ditukar jika ia menjadi lembab," tambah Dr Moy.
Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan rakyat Malaysia untuk memakai pelitup muka dengan betul.
"Jangan menarik pelitup ke dagu anda. Ini adalah pelitup muka, bukan pelitup dagu. Anda harus memakainya dengan betul atau menanggalkannya terus," kata beliau.
Malaysia kelmarin melaporkan 3,680 jangkitan Covid-19 baru, menjadikan jumlah keseluruhan di negara ini menjadi 194,114 lapor agensi berita Xinhua.
Dr Hisham dalam satu kenyataan media menjelaskan bahawa enam daripada kes baru itu diimport dan 3,674 adalah jangkitan tempatan.
Tujuh lagi kematian telah dilaporkan, menjadikan jumlah kematian sejauh ini 707 orang.
Sebanyak 1.858 pesakit telah dibebaskan setelah pulih, menjadikan jumlah yang sembuh dan dibenar pulang sebanyak 151,018 atau 77.8 peratus daripada semua kes.
Dari baki 42,389 kes aktif, 314 berada di unit rawatan rapi dan 122 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Dalam perkembangan mencari vaksin pula, Malaysia telah memulakan ujian klinikal fasa 3 bagi calon vaksin Covid-19 yang dikembangkan oleh Institut Biologi Perubatan Akademi Sains Perubatan China (IMBCAMS), kata Kementerian Kesihatan kelmarin.
Inisiatif ini adalah kerjasama antara kerajaan Malaysia dan pemerintah China untuk menghasilkan data saintifik dalam pengembangan calon vaksin untuk menilai keselamatan dan keberkesanannya terhadap jangkitan Covid-19, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Percubaan itu akan melibatkan sembilan hospital kerajaan di serata Malaysia dan 3,000 sukarelawan bagi tempoh 13 bulan.
Dalam ucapannya semasa upacara pelancaran maya, Menteri Kesihatan Malaysia Dr Adham Baba berkata Malaysia gembira bekerjasama dengan China, melalui IMBCAMS, dalam usaha mencarian bukti saintifik dalam pengembangan vaksin tidak aktif.
"Dengan penyelidik yang kuat, disahkan dan penyelidik yang berpengalaman, kami yakin dapat menghasilkan bukti saintifik yang berkualiti untuk menyokong vaksin penyelidikan," katanya.
"Kerjasama ini akan mengeratkan hubungan antara China dan Malaysia. Saya sangat yakin bahawa kami akan mempunyai lebih banyak peluang bekerjasama dalam masa terdekat, membawa lebih banyak hasil positif bukan hanya untuk kedua-dua negara kita, tetapi juga untuk dunia, " kata Dr Adham.
Sementara ketua Jabatan R&D, Akademi Sains Perubatan Institut Sains Perubatan Cina, Dr Che Yanchun berkata Malaysia telah dipilih sebagai negara pertama di luar China yang turut serta dalam ujian klinikal fasa 3 vaksin COVID-19.
"Saya sangat berharap ujian klinikal fasa 3 di Malaysia akan berjaya, dan akan memenuhi objektif percubaan klinikal, dan tentunya Malaysia juga akan mendapat faedah dari percubaan ini," ujar beliau. - The Star, Xinhua


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg