Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pakar kesihatan AS gesa guna dua lapis pelitup

Feb 12, 2021 | 5:30 AM
CEGAH WABAK: Seorang jururawat menyediakan vaksin di sebuah pusat vaksinasi di California. - Foto AFP
CEGAH WABAK: Seorang jururawat menyediakan vaksin di sebuah pusat vaksinasi di California. - Foto AFP -

NEW YORK: Memastikan pelitup yang dipakai menutup dengan sebaiknya bahagian muka atau memakai dua lapis pelitup akan menghindar seseorang daripada terdedah kepada koronavirus, kata pegawai kesihatan Amerika Syarikat kelmarin dengan mengemukakan hasil penyelidikan di makmal.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) pada Januari lalu menjalankan uji kaji untuk melihat bagaimana sehelai pelitup jenis kain berlapis tiga yang dipakai di atas pelitup perubatan tiga lapis, atau menggunakan pelitup bedah yang diikat di bahagian telinga dengan lebihan pelitup itu menutup hampir kesemua bahagian muka, dapat melindungi seseorang daripada jangkitan Covid-19.

Mereka mendapati kedua-dua kaedah ini membantu mengurangkan pendedahan yang berpotensi menjangkiti kuman dengan lebih 90 peratus dalam simulasi makmal.

Data juga menunjukkan menggunakan pelitup mengurangkan pendedahan kepada kuman sebesar hama yang menularkan Covid-19, bila dibandingkan dengan tidak memakai pelitup sama sekali.

Ujikaji ini menunjukkan "pakai pelitup lebih selamat dan ia baik sekiranya ia muat dengan sepenuhnya dan dipakai dengan betul," kata pengarah CDC, Dr Rochelle Walensky, kepada wartawan.

Amerika dalam pada itu 'menjauhi' teori disebarkan oleh bekas Presiden, Encik Donald Trump yang sebelum ini mendakwa Covid-19 tercetus dari sebuah makmal di China.

Sebaliknya, Amerika menyuarakan sokongan kepada penyelidik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menjalankan siasatan di China.

Pada 9 Januari lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan, mereka gagal menemui sumber pandemik itu yang sudah meragut lebih 2.3 juta nyawa di seluruh dunia, namun menyifatkan hipotesis makmal berkenaan sebagai 'amat tidak mungkin.'

Menurut Jabatan Negara, ia sedang menunggu laporan penuh penemuan oleh WHO.

"Saya berpendapat tidak perlu terburu-buru membuat kesimpulan yang mungkin didorong oleh perkara lain selain sains.

"Kami lebih mahu melihat ke mana data itu serta sains membawa kita, dan akan membuat rumusan berdasarkannya.

"Kami jelas menyokong siasatan ini," kata jurucakap Jabatan Negara Amerika, Encik Ned Price, kepada pemberita, pada 9 Februari lalu.

Bekas Setiausaha Negara Amerika, Encik Mike Pompeo ketika bawah pentadbiran Encik Trump, lantang menyalahkan pemimpin China berhubung Covid-19.

Dalam penemuan didedahkan lima hari sebelum Presiden Joe Biden mengambil alih pentadbiran, Jabatan Negara di bawah Encik Pompeo ketika itu mendakwa Amerika mendapati sebelum wabak terbabit berleluasa, beberapa penyelidik di Institut Virologi Wuhan jatuh sakit bersama 'gejala konsisten dengan Covid-19 serta penyakit bermusim biasa.'

Bagaimanapun, Encik Price berkata, lembaran fakta pada 15 Januari itu 'sangat jelas tidak konklusif.'

Namun, beliau menyokong kritikan bahawa China menyembunyikan maklumat yang diperlukan untuk mencegah pandemik seumpama itu daripada berulang pada masa depan.

Presiden Biden juga telah menandatangani serangkaian perintah eksekutif antara yang utama ialah melaksanakan arahan memakai pelitup di tengah-tengah wabak Covid-19 pandemik.

Perintah tersebut mengarahkan warga memakai pelitup dan mematuhi peraturan jarak fizikal di semua bangunan, kawasan federal. Ia dikenakan ke atas semua pekerja dan kontraktor federal.

Sehingga 1 Februari, 14 negeri Amerika dan District of Columbia mempunyai mandat pemakaian pelitup sejagat, menurut CDC. - AFP, Xinhua

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg