GENEVA: Seorang pakar hak asasi manusia dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan semalam mengenai apa yang disebutnya sebagai "kekurangan makanan dan kekurangan zat makanan yang meluas" di Korea Utara, yang diburukkan oleh penutupan sempadan hampir lima bulan dengan China dan tindakan kuarantin ketat menentang Covid-19. Encik Tomas Ojea Quintana, pelapor khas PBB mengenai hak asasi manusia di Republik Demokratik Rakyat Korea, mendesak Majlis Keselamatan PBB untuk "mempertimbangkan kembali sekatan" yang telah dikenakan ke atas negara terpencil itu untuk memastikan bekalan makanan. Korea Utara, yang mengalami kebuluran pada pertengahan 1990-an yang diyakini telah membunuh seramai tiga juta orang, belum melaporkan sebarang kes penyakit Covid-19 kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Wabak itu telah membawa "kesulitan ekonomi yang mendadak" ke Korea Utara, kata Encik Ojea Quintana, dengan menyebut penurunan 90 peratus dalam perdagangan dengan China pada Mac dan April yang menyebabkan kehilangan pendapatan. Beliau berkata "prospek kekurangan makanan yang semakin mendalam dan ketakjaminan makanan (food insecurity) yang meluas amat membimbangkan". "Terdapat laporan tentang peningkatan gelandangan di kota besar - termasuk anak jalanan, dan harga ubat telah dilaporkan melonjak. Semakin banyak keluarga makan hanya dua kali sehari, atau hanya makan jagung, dan ada yang kelaparan," katanya dalam satu kenyataan. Secara berasingan, Cik Elisabeth Byrs, jurucakap Program Makanan Dunia PBB, memberitahu taklimat berita Geneva bahawa keadaan kemanusiaan di Korea Utara "masih suram". Lebih 10 juta orang, atau 40 peratus penduduk, memerlukan bantuan kemanusiaan, katanya. "Kekurangan zat makanan berterusan dan meluas, menyebabkan kerosakan jangka panjang terhadap kesihatan dan perkembangan anak-anak, serta ibu hamil dan menyusukan," tambahnya. - Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg