Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Pakar PBB: Tindakan tentera Myanmar jenayah kemanusiaan

Ada bukti junta Myanmar lakukan kekejaman terhadap rakyat
Mar 13, 2021 | 05:30 AM



GENEVA: Tindakan tentera Myanmar disifatkan sebagai jenayah kemanusiaan apabila sehingga kini sekurang-kurangnya 70 orang dilaporkan terbunuh sejak rampasan kuasa pada 1 Februari lalu.



Pakar kanan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Encik Thomas Andrews berkata, Myanmar ketika ini dikawal oleh rejim pembunuh dan haram.



"Ada bukti yang semakin meningkat bahawa tentera Myanmar yang dipimpin oleh kepemimpinan kanan sekarang mungkin terbabit dalam jenayah terhadap kemanusiaan termasuk tindakan pembunuhan, penganiayaan dan penyiksaan," katanya kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB.



Beliau turut menekankan bahawa kesalahan itu hanya dapat ditentukan di mahkamah sambil menyatakan tindakan tentera itu diketahui pemimpin kanan junta, Jenderal Min Aung Hlaing.



Encik Andrew selaku Pelapor Khas PBB menyampaikan laporan terbarunya mengenai keadaan itu kepada majlis tetapi menyesali bahawa sejak diterbitkan minggu lalu, jumlah yang dibunuh dan ditahan oleh tentera meningkat dengan ketara.



Katanya, pada Rabu lalu, junta terus menahan lebih 2,000 orang sementara keganasan penunjuk perasaan terus meningkat.



"Saya mendokumentasikan bagaimana junta secara sistematik memusnahkan perlindungan di bawah undang-undang daripada kebebasan bersuara, berkumpul dan berpersatuan hingga hak privasi," katanya.



Encik Andrews berkata, bukti menunjukkan junta Myanmar melakukan kekejaman terhadap rakyatnya, tindakan segera perlu dilakukan.



"Rakyat Myanmar bukan hanya memerlukan kata-kata sokongan tetapi juga tindakan sokongan.



"Mereka memerlukan pertolongan masyarakat antarabangsa," katanya.



Tindakan ganas junta tentera Myanmar menyaksikan 12 penunjuk perasaan terbunuh di Myanmar, dengan lapan daripadanya terkorban kelmarin.



Pada masa sama, mereka turut membuat tuduhan baru terhadap pemimpin yang digulingkan, Cik Aung San Suu Kyi, mendakwanya menerima pembayaran haram yang besar.



Di ibu negara, Naypyidaw, jurucakap junta, Encik Zaw Min Tun, berkata, Ketua Menteri Yangon yang kini dalam tahanan, mengaku memberi Cik Suu Kyi wang tunai AS$600,000 ($806,825) selain lebih 11 kilogram (kg) emas bernilai AS$680,000 ($914,402).



"Kami diberitahu Suu Kyi secara peribadi menerima AS$600,000 serta sekitar 11.2 kg emas dan tuduhan ini sedang disiasat suruhanjaya antirasuah," katanya.



Kelmarin turut menyaksikan lebih banyak tindakan keras terhadap penunjuk perasaan, dengan enam terbunuh di tengah bandar Myanmar, Myaing.



"Enam lelaki ditembak mati, manakala lapan lagi cedera dengan seorang lelaki berada dalam keadaan kritikal," kata seorang pekerja penyelamat kepada AFP.



Seorang saksi berkata, lima daripada mereka ditembak di kepala.



Di Bago, sebuah bandar di timur laut Yangon, Zaw Zaw Aung, 33 tahun, yang pekak, ditembak di kepala, kata bapanya, Encik Myint Lwin kepada AFP.



Seorang pekerja penyelamat memberitahu AFP, seorang lelaki berusia 30 tahun dibunuh di Mandalay, bandar kedua terbesar dan dua lagi cedera.



"Kami tidak boleh mengambil mayatnya kerana pasukan penyelamat juga menjadi sasaran pihak berkuasa ketika ini," katanya.



Satu lagi kematian dilaporkan di Dagon Utara, Yangon, di mana (Encik) Chit Min Thu, 25 tahun, maut selepas ditembak di kepala.



"Saya baru-baru ini mengetahui isterinya mengandung dua bulan," kata ibu mangsa, Cik Hnin Malar Aung.



Seorang lagi mangsa yang cedera lapan hari lalu di Monywa, tengah Myanmar dilaporkan maut kelmarin dan seorang pekerja bank berusia 26 tahun dari Myingyan yang ditembak Rabu lalu turut menemui ajal kelmarin.



Rampasan kuasa oleh tentera di Myanmar tercetus ekoran ketegangan selama berminggu-minggu antara tentera dengan Cik Suu Kyi dan parti politiknya, Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) yang menang besar dalam pilihan raya umum pada November 2020.



Ekoran daripada dakwaan berlakunya penipuan dalam pelaksanaan pilihan raya tersebut, Cik Suu Kyi dan pemimpin lain ditahan, termasuk Presiden Myanmar, Encik U Win Myint, oleh tentera sebelum Parlimen dapat bersidang buat kali pertama.



Cik Suu Kyi tetap menjadi tokoh terkenal di Myanmar biarpun imejnya pada peringkat antarabangsa tercalar ekoran tindakan kerasnya terhadap minoriti Rohingya pada 2017.



Namun, kemenangan lebih besar NLD berbanding undi diperoleh pada 2015 membuktikan bekas pemenang Hadiah Keamanan Nobel itu masih popular dan mendapat sokongan ramai berbanding regim tentera.



Myanmar yang sudah hampir 60 tahun diperintah tentera, masih berada di bawah sistem demokrasi dikawal ketat jeneral tentera walaupun pada hakikatnya berkongsi kuasa dengan pentadbiran dipilih rakyat.



Justeru, pihak tentera membuat helah dengan mendakwa proses pengundian dicemari unsur penyelewengan apabila mendapati pengaruhnya semakin terhakis.



Mereka mendakwa menemui lebih dari 10 juta contoh penipuan pemilih dan menuntut pengendali pilihan raya mengeluarkan daftar pemilih untuk diperiksa secara menyeluruh.



Ketegangan meningkat selepas ketua tentera, Jeneral Min Aung Hlaing, beberapa hari lalu dalam ucapannya mengingatkan bahawa Perlembagaan negara itu boleh dimansuhkan jika tidak dihormati.



Apabila kudeta dilaksanakan, kereta kebal tentera dikerah ke jalan utama di pusat perdagangan Yangon, ibu kota Naypyidaw dan tempat lain, disertai kumpulan tunjuk perasaan dan penyokong pro-tentera.



Tentera mengisytiharkan darurat dan mengatakan akan mengambil alih kuasa selama 12 bulan, sebelum mengadakan pilihan raya yang baru.



Myanmar diperintah rejim tentera sejak merdeka dari kuasa penjajah Britain pada 1948.



Jeneral Ne Win menggulingkan pemerintahan awam pada 1962, dengan mendakwa ia tidak cukup berwibawa untuk memerintah.



Beliau menguasai negara itu selama 26 tahun sebelum berundur pada 1988 selepas tercetus tunjuk perasaan besar-besaran di seluruh negara terhadap kelembapan ekonomi dan pemerintahan diktator.



Pemimpin Junta, Jeneral Than Shwe, berundur pada 2011, menyerahkan kuasa kepada pemerintah jeneral yang sudah bersara, mengikut Perlembagaan terkini.



Perlembagaan 2008 menetapkan peranan politik berterusan yang kuat kepada tentera, dengan kawalan kementerian dalaman, perbatasan dan pertahanan utama diberi kepada mereka.



Sebarang perubahan memerlukan sokongan anggota Parlimen tentera, yang menguasai satu perempat kerusi di Parlimen negara itu.



Cik Suu Kyi dan pemerintahnya berusaha mengubah piagam itu sejak memenangi pilihan raya pada 2015, dengan sedikit kejayaan dan berjaya mendapat mandat rakyat untuk lima tahun lagi pada pilihan raya November lalu .



Sehingga penggal terakhir yang lalu, beliau berjaya mengelakkan peraturan yang menghalangnya untuk mengambil alih jawatan presiden dengan mengisi jawatan sebagai 'Kaunselor Negara' - sebagai jalan keluar bagi kedudukannya kerana warga yang berkahwin dengan rakyat asing tidak dibenarkan memegang jawatan presiden negara itu. - AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >