WUHAN: Sepasukan pakar dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyiasat asal-usul virus Covid-19 mengunjungi pasar di Wuhan pada Ahad (31 Januari), di mana kelompok pertama jangkitan dilaporkan di situ lebih setahun lalu.
Anggota kumpulan ini yang tiba di pasar borong makanan laut Huanan yang ditutup sejak Januari tahun lalu memasuki premis pasar itu yang disekat dengan pengawal keselamatan menghalang orang lain dari memasukinya, lapor agensi berita AFP.
Sejak ditutup, orang awam tidak dibenarkan memasuki pasar itu dengan pengawal keselamatan menjaganya 24 jam.
Sebelum penutupannya, ia merupakan pasar yang sibuk dengan ratusan gerai daging, makanan laut dan sayur-sayuran.
Beberapa diplomat China dan media negara itu menyatakan keyakinan mereka bahawa pasar itu bukan punca asal koronavirus membiak.
Mereka bahkan menyokong teori yang menegaskan virus tersebut berpotensi wujud dari negara lain.
Pada 31 Disember 2019, selepas empat kes misteri penyakit radang paru-paru dikaitkan dengan pasar tersebut, ia ditutup semalaman.
Menjelang penghujung Januari tahun lalu, Wuhan telah pun mengisytiharkan perintah berkurung selama 76 hari.
Bagaimanapun, pakar virus meyakini pasar Huanan ini masih memainkan peranan penting dalam menjejak asal-usul kelompok kes pertama yang dikenal pasti di Wuhan.
Menyusuli kuarantin dua minggu di kota itu yang berakhir Khamis lalu, pasukan WHO dijadualkan mengunjungi makmal, pasar dan hospital di Wuhan.
Tiada jadual lawatan terperinci yang diumumkan tetapi jurucakap WHO mengesahkan pasukan pakar itu merancang melawat pasar Huanan dan Institut Virologi Wuhan.
Pasukan WHO juga telah mengunjungi Hospital Wilayah Hubei di Wuhan dan berbincang dengan doktor yang merawat kumpulan pesakit pertama Covid-19 di Wuhan.
Usaha WHO mengkaji asal-usul Covid-19 di Wuhan ini banyak terjejas dengan penundaan lawatan, keprihatinan dan pertelingkahan antara China dengan Amerika Syarikat yang menuduh China menyembunyikan asal-usul penularan wabak ini.
Terdapat juga kritikan tentang ketetapan yang dibuat bagi lawatan ini di mana pakar China telah menjalankan fasa pertama kajian ini.
Pasukan WHO dijadualkan tiba di Wuhan pada awal Januari. Apabila China melambat-lambatkan lawatan ini, timbul pula kritikan awam yang jarang-jarang diterima daripada ketua WHO, Encik Tedros Adhanom Ghebreyesus, yang dituduh mantan Amerika, Encik Donald Trump sebagai menyebelahi China. – AFP, Reuters
Pilih perkataan yang betul
1/3
< Kuiz sebelumnya
< Kuiz sebelumnya
28
0
Pakar WHO lawat pasar Wuhan, di mana kes pertama dilapor
Jan 31, 2021 | 04:39 PM