JOHOR BARU: Terlupa daripada parti yang mana satu?
Itulah yang berlaku kepada seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Johor, yang tersilap melaungkan nama Pakatan Harapan (PH) sedangkan partinya sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN) semasa sidang media yang disiarkan secara langsung di televisyen.
Encik Abdul Halim Abu Bakar sedang bercakap dalam sidang media di Mersing, Johor, sebagai berkempen bagi pilihan raya negeri Sabtu ini.
Dalam klip video 47 saat yang disiarkan di saluran Astro Awani, Encik Abdul Halim dilihat mengetuai penyokong partinya di divisyen Mersing untuk melaungkan "Hidup Pakatan" beberapa kali sebelum seorang lelaki di belakangnya berbisik kepada beliau.
Encik Abdul Halim nampak terkejut sebelum memperbetulkan dirinya dengan melaungkan "Perikatan".
Bersatu sebelum ini merupakan sebahagian kerajaan PH yang mengambil alih kuasa selepas pilihan raya 2018.
Pada Februari 2020, beberapa Anggota Parlimen Bersatu, bergabug dengan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk meninggalkan pakatan tersebut, sekali gus mengakibatkan keruntuhan kerajaan PH.
Dipimpin oleh bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Bersatu kini sebahagian daripada Perikatan Nasional, yang membentuk kerajaan persekutuan bersama-sama dengan Barisan Nasional yang dipimpin Umno.
Kesilapan Encik Abdul Halim itu lekas tular dan dikongsi di media sosial dengan netizen di seberang Tambak mengatakan beliau sehingga terlupa perikatan yang dianggotainya. - THE STAR/ASIA NEWS NETWORK
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg