WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, bersetuju membekalkan Ukraine dengan sistem roket maju yang boleh menyerang dengan tepat sasaran Russia pada jarak jauh, sebagai sebahagian pakej bantuan senjata bernilai AS$700 juta ($958.72 juta).

Amerika bersedia membekalkan Ukraine dengan sistem roket bermobiliti tinggi itu yang boleh mencapai sasaran dengan tepat sejauh 80 kilometer, selepas Ukraine memberi jaminan tidak akan menggunakan senjata itu untuk menyerang sasaran di dalam wilayah Russia, kata pegawai kanan pentadbiran Amerika.

Dalam satu rencana di New York Times yang diterbitkan kelmarin, Encik Biden berkata pencerobohan Russia ke atas Ukraine akan berakhir melalui diplomasi, namun Amerika mesti membekalkan senjata dan peluru untuk memberi Ukraine kelebihan di meja rundingan.

"Itulah sebabnya saya memutuskan kami akan membekalkan Ukraine dengan sistem roket dan peluru yang lebih canggih yang membolehkan ia menyerang sasaran utama dengan lebih tepat di medan perang di Ukraine," tulis Encik Biden.

Seorang pegawai kanan pentadbiran Biden berkata senjata yang dibekalkan itu termasuk Sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi M142 (HIMARS), yang menurut ketua angkatan tentera Ukraine sebulan lalu penting untuk menentang serangan peluru berpandu Russia.

Pakej senjata itu juga termasuk peluru, radar tembakan balas, beberapa radar pengawasan udara, tambahan senjata antikereta kebal Javelin, serta senjata antiperisai, kata pegawai.

Pegawai Ukraine meminta sekutunya bagi sistem peluru berpandu jarak jauh yang boleh melancarkan roket bertubi-tubi ratusan kilometer jauhnya, dengan harapan dapat mengubah arus dalam perang selama tiga bulan itu.

Encik Biden kelmarin memberitahu wartawan bahawa "kami tidak akan menghantar sistem roket ke Ukraine yang boleh menyerang Russia".

Encik Biden mahu membantu Ukraine mempertahan dirinya tetapi menentang sebarang usaha menyediakan senjata yang boleh digunakan Ukraine untuk menyerang wilayah Russia.

Tidak lama selepas keputusan Amerika itu diumumkan, kementerian pertahanan Russia berkata pasukan nuklearnya mengadakan latihan di wilayah Ivanovo, timur laut Moscow, lapor agensi berita Interfax.

Negara Barat semakin bersedia memberi Ukraine senjata jarak jauh, termasuk meriam katak M777 sedang pasukan Ukraine memerangi Russia dengan lebih banyak kejayaan diraih daripada yang diramalkan pegawai perisikan.

Ukraine juga mula menerima peluru berpandu antikapal Harpoon dari Denmark dan meriam katak moden dari Amerika, kata Menteri Pertahanan Ukraine, Encik Oleksiy Reznikov, Sabtu lalu.

Sementara itu, Ukraine menyatakan Russia telah menguasai sebahagian besar bandar perindustrian timur Sievierodonetsk, bandar yang dibedil teruk oleh Russia, dengan penawanannya adalah satu matlamat utama Moscow.

Serangan habis-habisan Russia ke atas bandar di wilayah Luhansk, Ukraine, itu mendapat tentangan hebat daripada tentera Ukraine.

Kumpulan pemisah yang disokong Russia di Luhansk mengakui bahawa menawan bandar itu mengambil masa lebih lama daripada yang diharapkan.

Selepas gagal menawan ibu kota Ukraine, Kyiv, dan dihalau keluar dari utara Ukraine, kemenangan Russia di Sievierodonetsk dan menyeberangi sungai Siverskyi Donets di Lysychansk akan membolehkan Russia menguasai sepenuhnya kawasan Luhansk, satu daripada dua wilayah timur yang dituntut Moscow bagi pihak pemisah. - Reuters.