Topik diikuti
Pergi ke BHkuPakistan tempatkan tentera di Saudi, Turkey salur bantuan pertahanan hadapi Houthi
Pakistan tempatkan tentera di Saudi, Turkey salur bantuan pertahanan hadapi Houthi
RIYADH: Pakistan mengesahkan tenteranya sudah ditempatkan di Arab Saudi dalam pelbagai keupayaan operasi, manakala Turkey mula menyediakan bantuan pertahanan dan teknikal ketika tiga negara itu mempercepat pelaksanaan pakatan pertahanan bersama susulan serangan Houthi dari Yaman.
Jurucakap tentera Pakistan, Leftenan Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry, berkata kehadiran tentera negaranya di Arab Saudi bukan perkembangan baru kerana Islamabad dan Riyadh mempunyai kerjasama ketenteraan yang terjalin sejak beberapa dekad lalu.
Namun, penempatan itu kini mendapat perhatian selepas Pakistan, Arab Saudi dan Turkey bersetuju melaksanakan komitmen pertahanan bersama di bawah Perjanjian Pertahanan Bersama Makkah.
“Saya boleh mengesahkan bahawa kami, angkatan tentera Pakistan, sudah berada di sana,” kata Leftenan Jeneral Chaudhry ketika ditanya mengenai penempatan tentera di bawah pakatan itu.
“Pasukan Pakistan sudah berada di sana selama beberapa dekad dan pelbagai keupayaan juga sudah ditempatkan di Arab Saudi sejak sekian lama,” katanya.
Pakistan sebelum ini menghantar 8,000 anggota tentera, sebuah skuadron pesawat pejuang dan bateri pertahanan udara ke Arab Saudi di bawah perjanjian dua hala yang dimeterai pada September 2025.
Leftenan Jeneral Chaudhry berkata kerjasama itu mencerminkan hubungan diplomatik, politik dan ketenteraan yang sudah lama terjalin antara Pakistan, Arab Saudi dan Turkey.
Perjanjian Pertahanan Bersama Makkah yang dimeterai ketiga-tiga negara pada Ogos menetapkan bahawa serangan bersenjata terhadap salah sebuah negara anggota akan dianggap sebagai serangan terhadap semua.
Sejak itu, ketiga-tiga negara berusaha menetapkan mekanisme pelaksanaan pakatan berkenaan dan mengadakan beberapa rundingan politik serta ketenteraan, terutama selepas serangan dron dan peluru berpandu Houthi terhadap Arab Saudi meningkat.
Pada 5 Oktober, ketiga-tiga negara bersetuju mengambil langkah segera bagi melaksanakan komitmen pertahanan bersama, termasuk memastikan “pengerahan pantas” anggota tentera dan keupayaan ketenteraan ke Arab Saudi.
Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Strategik-Politik dan Pertahanan Perikatan Makkah di Riyadh pada 5 Oktober bagi membincangkan perkembangan keselamatan serta ancaman terhadap Arab Saudi.
Dalam pertemuan itu, ketiga-tiga negara menegaskan penolakan mereka terhadap sebarang serangan yang mengancam kedaulatan dan keutuhan wilayah Arab Saudi.
Turkey pula dijangka memberi tumpuan kepada bantuan pertahanan dan teknikal, bukannya mengerahkan pasukan tempur dalam jumlah besar buat masa ini.
Seorang pegawai Turkey berkata bantuan Ankara setakat ini merangkumi peralatan ketenteraan, perkongsian risikan dan sistem persenjataan.
Menurutnya, tiada bentuk penempatan tentera lain dilaksanakan di bawah perikatan itu setakat ini.
Seorang pegawai Amerika Syarikat yang diberi taklimat mengenai perkara itu berkata bantuan Turkey secara umumnya bersifat defensif, termasuk sokongan perancangan strategik dan logistik.
Bantuan itu turut merangkumi pengendali dron, kepakaran untuk memperkukuh langkah pertahanan serta keupayaan risikan, pengawasan dan peninjauan.
Sistem pertahanan udara juga antara keupayaan yang boleh disediakan Ankara.
Turkey mempunyai angkatan tentera kedua terbesar dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan industri pertahanan yang berkembang pesat, termasuk dalam pengeluaran dron, peluru berpandu serta sistem pertahanan udara.
Bagaimanapun, bantuan Turkey kepada Arab Saudi buat masa ini sebahagian besarnya disalurkan melalui hubungan dua hala kerana Parlimen Turkey masih belum meratifikasi Perjanjian Pertahanan Bersama Makkah.
Jurucakap Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogan, Encik Omer Celik, berkata perjanjian itu dijangka dikemukakan kepada Parlimen “dalam beberapa hari”.
Pegawai berkata skala dan bentuk bantuan Turkey kepada Arab Saudi boleh diperluaskan selepas proses ratifikasi selesai.
Menteri Luar Turkey, Encik Hakan Fidan, berkata selepas mesyuarat luar biasa perikatan itu di Riyadh bahawa ketiga-tiga negara sudah membincangkan jenis bantuan yang diperlukan bagi meningkatkan keupayaan pertahanan Arab Saudi.
Menurutnya, Menteri Pertahanan dan Ketua Turus Angkatan Tentera Turkey turut menyertai perbincangan dan memberikan pandangan mengenai aspek ketenteraan, operasi serta teknikal.
Perkembangan itu berlaku ketika konflik antara Arab Saudi dan Houthi semakin memuncak.
Houthi yang disokong Iran melancarkan beberapa serangan dron dan peluru berpandu terhadap prasarana awam dan ekonomi di Arab Saudi, mendorong Riyadh memperkukuh pertahanan udaranya.
Pada masa sama, Turkey sudah bersetuju menyertai gabungan pimpinan Arab Saudi bagi membantu memastikan keselamatan pelayaran di Laut Merah.
Kepentingan laluan itu semakin meningkat selepas pertempuran di Yaman merebak ke kawasan berhampiran Selat Bab el-Mandeb, antara laluan perkapalan antarabangsa paling penting bagi perdagangan dan penghantaran tenaga.
Minggu ini, tentera pemerintah Yaman dengan sokongan udara gabungan pimpinan Arab Saudi melancarkan serangan balas untuk merampas semula kawasan strategik berhampiran Bab el-Mandeb daripada Houthi.
Pegawai Pakistan dan serantau berkata Islamabad serta Ankara juga sudah menyediakan peralatan ketenteraan yang digunakan Arab Saudi dalam operasi di Yaman.
Perkembangan terbaru itu menunjukkan Perjanjian Pertahanan Bersama Makkah kini bergerak daripada kerangka kerjasama politik kepada penyelarasan ketenteraan yang lebih nyata, dengan Pakistan menyediakan kehadiran tentera di lapangan sementara Turkey mengukuhkan keupayaan pertahanan, risikan dan teknikal Arab Saudi. – Agensi berita