Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes bunuh diri bekas polis henti usaha 35 tahun jejak pembunuh dan perogol bersiri di Perancis

Oct 3, 2021 | 8:52 PM
Foto AFP
Foto AFP -

PARIS: Seorang pembunuh bersiri yang disyaki terlibat dalam beberapa kes paling lama Perancis yang tidak terhurai ditemui mati selepas 35 tahun bebas daripada diberkas polis.

Lelaki dengan gelaran 'Le Grele' yang bermaksud 'muka berlubang' itu menjadi buruan polis sejak 1980-an lagi bagi kesalahan membunuh dan merogol kanak-kanak perempuan tetapi tidak pernah berjaya ditangkap.

Dia berada dalam senarai buruan polis bagi kesalahan jenayah yang dilakukan antara 1980-an hingga 1990-an termasuk kes rogol kanak-kanak bawah usia, membunuh, percubaan membunuh, rompakan bersenjata dan penculikan kanak-kanak bawah umur, jelas pendakwa Paris, Laure Beccuau, dalam satu kenyataan pada Khamis (30 September).

Lelaki yang dikenal pasti sebagai Francois Verove itu membunuh diri di sebuah pangsapuri sewa dan meninggalkan surat pengakuan, kata sumber terdekat pada kes ini kepada agensi berita AFP.

Dalam satu kes yang diingati ramai, dia disyaki merogol dan membunuh kanak-kanak perempuan bernama Cecile yang ditemui mati di besmen bangunan di mana budak itu tinggal di wilayah ke-19 Paris.

Dia juga dipercayai telah mencekik hingga mati sepasang suami isteri di wilayah pertengahan Marais pada 1987.

Dari tahun ke tahun, kumpulan penyiasat mempercayai bahawa lelaki yang disyaki ini mungkin adalah sebahagian daripada pasukan bersenjata yang bertanggungjawab mengendalikan keselamatan dalam negeri atau Gendarmerie, sewaktu jenayah ini dilakukan dengan profil DNA-nya sudah dikenal pasti.

Beberapa bulan lalu, seorang hakim yang menyiasat mula menyoal sekitar 750 anggota Gendarmes (polis paratentera) yang telah dikerahkan ke Paris.

Salah seorang daripada mereka adalah Verove, 59 tahun, yang tinggal di bahagian selatan Perancis yang telah diberikan saman pada 24 September tetapi kemudian dilaporkan hilang oleh isterinya tiga hari selepas itu.

Dia ditemui mati pada Rabu di perkampungan nelayan di pantai Mediterranean, Grau-du-Roi, jelas kenyataan pendakwa.

Dia adalah mantan polis paratentera yang kemudian menjadi pegawai polis dan bersara.

Pihak polis mengambil sampel DNA daripada tubuh Verove dan mendapatinya sepadan dengan profil genetik yang ditemui di beberapa lokasi jenayah.

Mengikut beberapa media tempatan Perancis, Verove menyatakan tentang "dorongan silam" dalam surat yang ditinggalkannya, yang dikatakan "dalam kawalan". Dia juga berkata dia tidak melakukan jenayah selepas 1997. Pengakuan pembunuhan itu bagaimanapun tidak memberikan butiran terperinci mengenai kes-kes yang dilakukan.

Pada 1986, polis mengeluarkan sketsa polis berdasarkan kenyataan saksi yang menunjukkan wajah seorang lelaki sekitar usia 25 tahun, setinggi enam kaki dengan rambut coklat terang dengan mukanya jelas berjerawat.

Peguam keluarga Cecile, Encik Didier Seban, berterima kasih kepada polis kerana usaha mereka tetapi memberitahu AFP bahawa "adalah sangat perit untuk mengetahui penjenayah ini membawa segala rahsia pembunuhan bersamanya".

Menurut satu lagi laporan akhbar Paris, Verove juga disyaki melakukan pembunuhan berhampiran Paris, melibatkan gadis 19 tahun, Karine Leroy, pada 1994 di kota Meaux. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg